Kos Pengangkutan Tinggi, FAM Perlu Bantu Sarawak


KUCHING: Isu kos pengangkutan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) setiap kali bermain ditempat lawan perlu diteliti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, setiap kali menghadapi saingan Liga Malaysia, skuad Ngap Sayot akan menanggung kos tinggi untuk belanja pengangkutan.

Malah menurutnya, masalah tersebut turut dirasai pasukan negeri jiran, Sabah.

“Pasukan Sabah dan Sarawak menderita akibat bebanan kos pengangkutan yang ditanggung terlalu tinggi apabila keluar dari negeri untuk beraksi di tempat lawan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menjelaskan perkara itu, kos yang ditanggung kedua-dua negeri terbabit memakan jumlah yang besar berbanding pasukan yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia.

Abdul Karim menegaskan FAM selaku badan induk bola sepak negara perlu memandang serius perkara ini dan mengkaji secara lebih mendalam.

“Kita (Sarawak) dan Sabah juga merupakan pasukan yang menyertai pelbagai pertandingan bola sepak peringkat kebangsaan anjuran FAM.

“Takkan hendak biarkan Sabah dan Sarawak terus terbeban dengan kos yang tinggi… jika tidak dibantu,” katanya.

Mengulas berhubung Mesyuarat Agung (AGM) FAM yang dijadualkan berlangsung tahun depan, Abdul Karim berkata adalah wajar bagi FAS menghantar wakil untuk bertanding.

Menurut beliau, dengan adanya wakil dari Sarawak dalam jawatankuasa eksekutif FAM sekali gus dapat menyuarakan isu-isu yang membelenggu pasukan negeri-negeri dari Malaysia Timur.

“Kita patut hantar wakil, sekurang-kurangnya masalah yang kita hadapi dapat disuarakan terutamanya isu pengangkutan yang ditanggung pasukan kita (Sarawak) selama ini,” katanya.

Abdul Karim berkata, tindakan segera perlu diambil bagi mengatasi masalah kos pengangkutan terlalu tinggi yang menjadi antara peny- umbang terbesar dalam kos operasi badan induk persatuan bola sepak negeri itu.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA