Konflik Elly-Ramli: Alyah Dapat Panggilan, Mesej Tak Dikenali


GARA-gara komen pedas Datuk Ramli MS terhadap Elly Mazlein, isterinya yang juga merupakan penyanyi terkenal, Datin Alyah menerima tempias apabila diserang peminat fanatik Elly di laman sosial.

Tidak sekadar itu, Alyah turut menerima beberapa panggilan dan mesej berbaur kecaman daripada individu yang tidak dikenali.

Perkara itu didedahkan oleh Alyah menerusi laman Instagramnya, yang memaklumkan ketenteramannya telah diganggu.

Dalam status itu, Alyah turut menegaskan bahawa kerjaya suaminya tiada kena-mengena dengan dirinya.

Sementara itu, Alyah memberitahu, dia juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya situasi ini semakin parah.

“Setakat ini, saya masih boleh bersabar kerana apa yang berlaku ini hanyalah masalah kecil.

“Bagaimanapun sekiranya ada pihak cuba mengugut mahu menyimbah asid atau mengancam keselamatan, saya tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis.

“Saya dihentam teruk di Instagram. Malah ada juga individu yang sanggup membuka akaun Instagram baru semata-mata mahu menghina saya dan suami.

“Lebih teruk, saya menerima panggilan telefon tanpa henti daripada individu tidak dikenali sejurus selepas program itu tamat bersiaran selain turut menghantar mesej supaya Ramli segera memohon maaf kepada Elly,” katanya kepada Harian Metro.

Ahad lalu, Elly mengejutkan ramai apabila membuat keputusan menarik diri pada minggu keempat program Gegar Vaganza 3 (GV3) setelah terasa hati dengan komen Ramli yang menyebut mengenai ihsan. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA