Kompaun serta-merta jika cuba seludup keluar minyak masak, gula

CUBA SELUDUP: Hafidz bersama anggotanya merampas minyak masak dan gula yang cuba dibawa keluar menerusi pintu sempadan Tebedu.
KUCHING: Kompaun serta-merta dikenakan terhadap pesalah yang cuba menyeludup keluar minyak masak dan gula menerusi Ops Bersama antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di pintu sempadan Tebedu semalam.

Timbalan Pengarah KPDNKK Sarawak Abdul Hafidz A Rahim berkata kesalahan itu dilakukan kenderaan-kenderaan dari Indonesia yang masuk ke Malaysia.

Bagaimanapun, jumlah rampasan dan yang dikenakan denda tidak dinyatakan kerana menurutnya, perincian berhubung pemeriksaan itu akan dikeluarkan kastam.

“Kastam telah mengambil tindakan dengan mengkompaun serta-merta kesemua kes cubaan membawa keluar gula dan minyak memandangkan mereka adalah rakyat asing yang mungkin sukar ditemui lagi,” katanya kepada media.

Hafidz yang mengetuai KPDNKK dalam operasi itu berkata peluang cuti hujung minggu mungkin digunakan oleh pengunjung dari negara jiran untuk membeli dua barang tersebut di sini.

“Memandangkan hari ini (semalam) dan esok (hari ini) adalah hari cuti, ramai warga Indonesia telah datang dan mereka mengambil kesempatan membeli minyak masak bersubsidi di negara ini dan membawa ke negara mereka.

“Memandangkan hari ini (semalam) cuti rehat, kami menjangkakan kehadiran rakyat negara jiran membanjiri negara kita,” jelasnya.

Mengenai bekalan minyak masak sawit, beliau memberitahu pemantauan mendapati pasaran tempatan tidak berhadapan masalah pada ketika ini. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA