Kolej Komuniti Berasaskan Pertanian Di Lingga


SANTUBONG: Sebuah kolej komuniti berasaskan pertanian akan dibangunkan di Lingga dalam kawasan Parlimen P.201 Batang Lupar.

Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata tanah bagi tapak kolej ini telah diluluskan oleh pihak berwajib.

Dengan adanya kolej ini nanti ia akan menyokong hasrat kerajaan untuk menjadikan kawasan Batang Lupar sebagai hab bagi pengeluaran makanan.

“Saya juga akan memperkenalkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro sebagai kawasan penternakan dan pengeluaran bagi madu kelulut negara.

“Manakala DUN Lingga yang terkenal sebagai kawasan jelapang padi akan kita bangunkan lagi dengan penanaman pelbagi jenis padi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Seminar Kepimpinan Transformasi Ketua-Ketua Masyarakat Parlimen Batang Lupar.

Seminar tersebut berlangsung selama tiga hari bermula 25 hingga 27 November di sebuah pusat peranginan terkemuka di sini dan disertai lebih 200 ketua dan pemimpin masyarakat.

Tambah Rohani yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, bagi mempercepatkan lagi pembangunan di Batang Lupar, beliau turut menggalakkan penyertaan pihak swasta.

Katanya, kerajaan tidak mampu menyalurkan pembangunan di Batang Lupar ini sepenuhnya atas kekangan kewangan.

Sebab itu beliau mahu pihak swasta turut serta dalam membangunkan kawasan Batang Lupar terutama berkaitan bidang pertanian.

Menyentuh mengenai isu pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Seduku yang diviralkan, Rohani berkata isu ini telah disalah tafsir oleh pihak tertentu.

Menurut Rohani, kontraktor yang bertanggungjawab ke atas projek itu tidak melarikan diri seperti yang dilaporkan.

Sebaliknya, mereka hanya menghentikan sementara kerja-kerja pelaksanaan disebabkan kelewatan bayaran daripada jabatan dan kementerian yang berkenaan.

Bagaimanapun menurut Rohani, pihak kontraktor telah mengesahkan akan kembali menjalankan kerja pada hari ini selepas perbincangan bersama pihak jabatan dan kementerian yang terlibat.

Setakat ini, kerja-kerja pembinaan sekolah ini telah mencapai 70 peratus kemajuan dan beliau berharap isu itu tidak akan dijadikan sebagai bahan politik pihak tertentu untuk memburukkan beliau dan wakil rakyat di kawasan terlibat.

Mengulas mengenai seminar itu, Rohani berkata ia penting untuk ketua dan pemimpin masyarakat berkongsi permasalahan di kawasan masing-masing.

Sebagai ketua dan pemimpin masyarakat katanya, mereka perlu mempunyai tiga ciri penting iaitu cergas, berinisiatif dan bertanggungjawab. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA