Ketua Sami Didakwa Ubah Wang Haram



BANGKOK: Seorang ketua sebuah kuil Buddha berpengaruh di Thailand dan empat pengikutnya bakal didakwa kerana terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram, kata Peguam Negara Thailand semalam.

Polis sebelum ini beberapa kali cuba menahan ketua sami kuil Wat Phra Dhammakaya, Phra Dhammachayo tetapi gagal.

Kuil Wat Phra Dhammakaya yang terletak 50 kilometer ke utara Bangkok terkenal kerana mempunyai reka bentuk seperti piring terbang.

“Pendakwa raya bersetuju mendakwa Phra atas tuduhan konspirasi wang haram, pengubahan wang haram dan menerima barangan curi,” kata jurucakap di Pejabat Peguam Negara, Somnuek Siangkong.

Jabatan Siasatan Khas pada 2015 memanggil Phra, 72, untuk disoal siasat selepas kuil itu dituduh menerima lebih 1 bilion baht (RM125 juta) dana yang digelapkan.

Pendakwa raya sebelum ini menangguhkan keputusan untuk mendakwa sami itu empat kali selepas dia gagal hadir untuk disoal siasat dengan alasan sakit.

Kontroversi terhadap sami itu mencetuskan perbalahan antara pengikut tradisional Buddha dan mereka yang menyokong ajaran yang lebih moden.

Menurut Peguam Negara, had kes terhadap Phra adalah 15 tahun dan polis perlu menahan sami itu dalam tempoh berkenaan.

Pegawai perhubungan awam kuil itu, Phra Sanitwong Wuttiwangso memberitahu, Phra berada di dalam kuil itu dan tidak melarikan diri ke luar negara.

“Ketua kami uzur dan tidak mampu keluar dari kawasan kuil,” katanya.- Reuters

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA