Kesilapan taktikal Bersih 5.0

Tulisan asal oleh :
Raja Petra Kamarudin, Malaysia Today, 20 November 2016.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM atau Pribumi) mendakwa bahawa ia mempunyai 50,000 ahli berdaftar - walaupun ia masih belum menyerahkan senarai keahliannya kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS). Sumber dalaman saya memberitahu saya bahawa keahlian Pribumi masih belum pun mencapai 10,000 anggota - kurang daripada separuh daripada PAN, yang mempunyai 20,000 ahli (10% daripada sasaran 200,000 ahli: yang sepatutnya menjadi 20% daripada satu juta ahli PAS yang mereka sepatutnya curi).

Sasarannya adalah mudah. PAN mempunyai 20% sokongan, jadi sekurang-kurangnya 200,000 daripada satu juta ahli PAS sepatutnya meninggalkan PAS dan menyertai PAN. Pribumi mempunyai 50% sokongan jadi sekurang-kurangnya 1.75 juta daripada 3.5 juta ahli Umno sepatutnya meninggalkan Umno dan menyertai Pribumi.

PKR dan DAP mempunyai satu juta lagi penyokong jika digabungkan, walaupun mereka bukanlah ahli yang berdaftar (atau itulah yang mereka dakwakan). Ini bermakna pembangkang mempunyai tiga juta ahli dan/atau penyokong (dan Pakatan Harapan berharap untuk meraih sekurang-kurangnya lima juta undi pada pilihan raya umum akan datang: yang bermaksud Barisan Nasional akan menang pilihan raya akan datang).

Apa-apa pun, dengan mengambil tiga juta ini ke dalam pertimbangan, dan juga mengambil 1.3 juta rakyat Malaysia yang didakwa telah menandatangani Deklarasi Rakyat enam bulan yang lepas - yang telah dikecam oleh Anwar Ibrahim - sekurang-kurangnya 400,000 sepatutnya turun semalam. Tetapi hanya kira-kira 15,000 hingga 40,000 yang turun (bergantung kepada siapa yang melakukan anggaran itu). Dan itu adalah sangat buruk bagi Tun Dr Mahathir Mohamad dan ANC (Kempen Anti-Najib) beliau dan tali barutnya dalam Pakatan Harapan pimpinan DAP.

Dan itulah masalah yang timbul apabila anda bermain permainan angka dan cuba untuk menunjukkan kekuatan berdasarkan satu permainan angka. Anda perlu memastikan bahawa anda mencapai sasaran anda atau jika tidak, ia akan memakan diri. Apabila anda mengatakan bahawa angka anda membuktikan asas sokongan anda, ia juga seperti menyatakan bahawa jika anda tidak mempunyai angka tersebut maka anda kekurangan sokongan. Dan itu adalah mesej yang Mahathir, ANC dan Pakatan Harapan pimpinan DAP sampaikan semalam - bahawa mereka tidak mempunyai sokongan yang mencukupi.

Itu sentiasa menjadi masalah pembangkang. Mereka menjerit menyatakan sokongan mereka di Sanggang dan kalah pilihan raya kecil itu. Mereka menjerit menyatakan sokongan mereka di Indera Kayangan dan kalah pilihan raya kecil itu. Mereka menjerit menyatakan sokongan mereka di Pendang dan kalah pilihan raya kecil itu. Mereka menjerit menyatakan sokongan mereka di Telok Kemang dan kalah pilihan raya kecil itu. Mereka menjerit menyatakan sokongan mereka di Hulu Selangor dan kalah pilihan raya kecil itu. Mereka menjerit menyatakan sokongan mereka di Kuala Kangsar dan kalah pilihan raya kecil itu. Mereka menjerit menyatakan sokongan mereka di Sabak Bernam dan kalah pilihan raya kecil itu.

Pembangkang tidak pernah belajar bahawa hanya kerana bilangan orang ramai yang berhimpun bersama mereka adalah sepuluh kali ganda lebih banyak, itu tidak bermakna mereka akan memenangi pilihan raya. Dalam pilihan raya kecil Indera Kayangan pada bulan Januari 2002, ceramah pembangkang pada malam pilihan raya kecil itu menarik 50,000 orang manakala hanya terdapat kurang daripada 100 orang di rumah Shahidan Kassim. Tetapi Barisan Nasional masih menang pilihan raya kecil itu pada hari berikutnya.

Walaupun 400,000 orang turun semalam, saya masih tidak akan jamin bahawa Pakatan Harapan akan memenangi pilihan raya umum akan datang. Terdapat kira-kira 18 juta pengundi yang layak di Malaysia dengan hanya 14 juta atau lebih yang berdaftar untuk mengundi. Biasanya kira-kira 80-85% atau kira-kira 11-12 juta pengundi yang akan keluar mengundi. Ini bermakna, walaupun 400,000 orang turun semalam, 11 juta atau lebih orang tidak turun. Jadi undian boleh menyebelahi mana-mana pun.

Dan semalam hanya 15,000-40,000 dan bukannya 400,000 orang yang turun. Pada pendapat anda, berapa banyak undi yang mereka wakili? Dan 15,000-40,000 pengundi juga tidak mewakili satu kerusi Dewan Undangan Negeri (dan mereka tidak semua tertumpu ada satu kerusi tetapi tersebar ke seluruh negara). Dan kita mempunyai 800 kerusi yang akan ditandingi di peringkat negeri dan parlimen pada pilihan raya umum akan datang.

DAP dan Pakatan Harapan menjangkakan PAN untuk mencuri 20% daripada satu juta ahli PAS dan Pribumi akan mencuri 50% daripada 3.5 juta ahli Umno. Ini bermakna kira-kira dua juta orang Melayu akan meninggalkan Umno dan PAS, dua parti politik Melayu yang paling menonjol. Walau bagaimanapun, kurang daripada 5,000 orang Melayu yang turun semalam. Malah bukan keseluruhan ahli jawatankuasa Pribumi dan pemimpin yang turun bersama.

Di manakah semua pemimpin-pemimpin Pribumi dan penyokongnya yang berjumlah 1.7 juta bekas ahli Umno yang berpaling tadah dan 1.3 juta rakyat Malaysia yang menandatangani Deklarasi Rakyat enam bulan yang lalu? Di manakah 20% daripada satu juta penyokong DAP dan PKR yang dijangkakan untuk turun semalam?

Biarlah ini menjadi pengajaran kepada pembangkang: jangan pernah bermain permainan angka kecuali anda yakin anda akan menang. Dan Mahathir dan ANC beliau adalah novis dalam permainan ini. Mereka boleh mendapatkan penyertaan seramai 200,000 orang jikalau PAS menyokong Bersih 5.0. Tetapi sebaik sahaja PAS mengisytiharkan bahawa ia tidak menyokong Bersih 5.0, mereka tahu bahawa mereka telah kalah permainan dari awal lagi. Dan PAS tidak menyokong Bersih 5.0 kerana ia tidak mahu mempunyai apa-apa kaitan dengan DAP dan dengan agenda anti-Islam dan Evangelist Christian.

Bersih 5.0 adalah satu kesilapan yang besar, satu kesilapan taktikal. Anda sepatutnya terus membuatkan orang cuba meneka dan jangan sesekali mendedahkan kelemahan anda. Namun, semalam, Mahathir, Pribumi dan Pakatan Harapan pimpinan DAP, mendedahkan sesuatu yang mereka sepatutnya sembunyikan, iaitu mereka sebenar-benarnya tidak mempunyai sokongan yang kuat. Dan kini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tahu beliau boleh mengadakan pilihan raya umum akan datang pada bila-bila masa sahaja yang beliau mahu. Barisan Nasional boleh dikatakan sudah pun menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Mahathir dan rakan-rakannya dalam pembangkang perlu kembali kepada titik permulaan, seperti yang telah saya ramalkan dalam artikel-artikel saya sebelum ini. Pembangkang perlu menang 60% undi untuk membentuk kerajaan baru. Barisan Nasional boleh memenangi hanya 45% undi dan masih dapat membentuk kerajaan. Ini adalah sama seperti di UK. Dan sebabnya adalah kerana parti pemerintah telah menyebarkan asas sokongannya di seluruh negara manakala asas sokongan pembangkang tertumpu di kawasan bandar (sama seperti di UK juga).

Dan bukan sahaja acara semalam dipenuhi oleh majoriti orang Cina, ia juga kebanyakannya adalah Evangelist Christian Cina, dua tamparan hebat kepada pembangkang. Dan ini akan menjadikan orang Melayu lebih berhati-hati dengan Bersih. Dan perkara ini turut mendapat perhatian. Dalam kalangan orang Melayu sendiri, sama ada secara sah atau tidak, bercakap mengenai agenda Kristian Bersih. Dan ini adalah satu lagi halangan untuk apa yang bermula sebagai gerakan ‘non-partisan’ dan ‘non-racial’ pada tahun 2007.

Kita telah melihat gambar-gambar (beberapa gambar telah diedit untuk menunjukkan bilangan orang ramai yang jauh lebih ramai) Bersih di Kuala Lumpur. Apa yang berlaku di wilayah DAP Pulau Pinang? Mengapa DAP tidak dapat menggerakkan orang ramai dalam kubu mereka sendiri? Mereka tahu bahawa Pulau Pinang tidak akan mendapatkan sambutan jadinya DAP tidak mahu melakukannya di Pulau Pinang supaya tidak ramai orang yang turun. Sekurang-kurangnya apabila PAS melakukan acara di Kota Bharu mereka berjaya mengumpulkan ramai orang.

Dalam artikel kami sebelum ini, saya menulis tentang asal-usul Bersih ketika ia pertama kali dilancarkan pada tahun 2007 dan apa yang kami harapkan untuk capai dengan perarakan 10 November 2007 ke Istana Negara. Wikipedia juga telah menulis mengenai perkara ini, yang anda boleh baca di sini (https://en.wikipedia.org/wiki/2007_Bersih_rally).

Apa-apa pun, seperti apa yang kami tulis dalam artikel pada Jumaat, Bersih 5.0 bukanlah perhimpunan kelima dalam siri lima perhimpunan kerana matlamat kami pada 10 November 2007 dan objektif semalam, 19 November 2016, adalah sangat berbeza. Pada 10 November 2007, ia adalah mengenai reformasi pilihan raya dan hari ini ia adalah mengenai penggulingan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah Nurul Izzah Anwar turut bersetuju dengan ini apabila, hari ini, beliau menulis dalam blog beliau, "Beribu-ribu penunjuk perasaan anti kerajaan berarak di ibu negara Malaysia pada Sabtu menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri, Najib Razak, kerana dakwaan bahawa beliau terlibat dalam skandal penyelewengan berbilion dolar."

Jadi, Bersih pada 10 November 2007 adalah untuk meminta reformasi pilihan raya manakala Bersih pada 19 November 2016 adalah Kempen Anti-Najib. Dan sebab mengapa kami terpaksa berarak ke Istana Negara pada 10 November 2007 dan menyerahkan Petisyen untuk pembaharuan pilihan raya kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah kerana kami tidak boleh mendapatkan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia) untuk mendengar rintihan kami.

Apabila Pengerusi SPR yang baru, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, mengambil alih pada November 2000 (setahun selepas pilihan raya umum November 1999), beberapa pemimpin dari Barisan Alternatif telah pergi menemuinya untuk membincangkan reformasi pilihan raya. Saya juga menyertai delegasi itu. Tetapi apabila kami membangkitkan beberapa isu yang kami rasa perlu ditangani, beliau menjawab bahawa jika beliau bersetuju dengan permintaan kami maka tidak ada seorang pun menteri yang akan dapat mengekalkan kerusi mereka.

Kami terkejut dengan reaksinya yang berlagak ini. Kami kemudian bertanya kepada Rashid bahawa bukankah tugas SPR dan beliau sebagai Pengerusi SPR untuk memastikan bahawa Malaysia mempunyai pilihan raya yang bebas dan adil? Rashid kemudian menjawab bahawa tugas SPR adalah untuk memastikan orang Melayu tidak kehilangan kuasa politik. Dan dengan jawapan itu, kami memutuskan untuk mengakhirkan sahaja mesyuarat itu. Ia sama sekali tidak berguna untuk meneruskan perbincangan jika itulah sikap Pengerusi SPR.

Rashid adalah penghalang kepada pilihan raya yang bebas dan adil dan merupakan musuh nombor satu demokrasi. Pada tahun 2004, pembangkang hampir dihapuskan dan kami tahu bahawa pada pilihan raya umum 2008, ia akan menjadi drastik sama seperti sebelum itu jika kami tidak melakukan sesuatu. Dan apa yang kami lakukan ialah berarak ke Istana Negara pada 10 November 2007, hanya empat bulan sebelum pilihan raya umum ke-8 pada Mac 2008, untuk membuat aduan kepada Agong.

Hari ini, musuh nombor satu demokrasi yang sama, Rashid Abdul Rahman, bekas Pengerusi SPR yang berkata bahawa tugas SPR bukan untuk menguruskan pilihan raya yang bebas dan adil tetapi untuk memastikan bahawa orang Melayu tidak kehilangan kuasa politik, orang itu yang enggan untuk membincangkan reformasi pilihan raya pada tahun 2000 dan memaksa kita untuk membentuk Bersih dan berarak ke Istana Negara untuk menyampaikan petisyen kepada Seri Paduka Baginda yang Dipertuan Agong pada tahun 2007, kini adalah Naib Presiden parti Tun Dr Mahathir Mohamad, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM atau Pribumi) .

Bolehkah anda melihat ironinya? Bersih tidak akan wujud pada tahun 2007 jika bukan kerana orang-orang seperti Rashid Abdul Rahman, Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan sebagainya. Ia adalah kerana mereka menidakkan mana-mana sesi dialog yang membuatkan kami terpaksa melancarkan Bersih pada 2007 dan berarak ke Istana Negara untuk menyampaikan Petisyen kami kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Dan semalam, mereka inilah yang berarak untuk Bersih di mana jika mereka tidak begitu sombong pada tahun 2000, kita tidak perlukan Bersih pada tahun 2007.

Malah apa yang lebih menarik adalah untuk melihat dalam video di bawah apa yang Mahathir lakukan kepada kami semasa kami berarak atau berdemonstrasi di jalan-jalan semasa beliau menjadi Perdana Menteri.
https://youtu.be/CQYb2W8HCy4


Link asal artikel:
http://www.malaysia-today.net/the-bersih-5-0-tactical-blunder/

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA