Kes Dipindah Ke Mahkamah Tinggi


MIRI: Mahkamah Majistret di sini semalam memerintahkan kes tiga lelaki dituduh membunuh pemimpin PKR Miri, Bill Kayong supaya dipindahkan untuk didengar di Mahkamah Tinggi.

Manakala ketiga-tiga tertuduh diperintahkan supaya ditahan lanjut sementara menunggu tarikh perbicaraan yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi nanti.

Keputusan itu dibuat Majistret Zuraini Ali Musa setelah membenarkan permohonan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Wan Mohd I’zzat Wan Abdullah.

Dalam permohonannya, Wan Mohd I’zzat memberitahu pihaknya menerima kebenaran mendakwa dalam kes ini justeru memohon agar kes ketiga-tiga tertuduh dipindahkan ke Mahkamah Tinggi mengikut peruntukan Seksyen 177A (2) Kanun Prosedur Jenayah untuk perbicaraan lanjut.

Selain itu, beliau juga memohon agar ketiga-tiga tertuduh dibicarakan bersama.

Mohamad Fitri Pauzi, 29, dari Jalan Dawai 1 Pujut 4D di sini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan pembunuhan sehingga menyebabkan kematian Bill Kayong.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu jam 8.20 pagi, pada 21 Jun lalu di persimpangan lampu isyarat berdekatan Pasar Raya Emart (Tudan), Jalan Miri-Bintulu.

Manakala dua lagi tertuduh Lie Chang Loon, 37, dari Taman Pin Fook dan Chin Wui Chung, 50, dari Lorong 5 Krokop di sini masing-masing didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama.

Berdasarkan pertuduhan kes, kedua-dua tertuduh bersubahat dengan Lee Chee Kiang, 44, dan seorang lagi masih bebas mengupah Mohamad Fitri Pauzi membunuh Bill Kayong.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada masa dan di tempat yang sama.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Hadir sama Abun Sui Anyit selaku peguam pemerhati pihak keluarga Bill Kayong.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA