Kerjasama Malaysia-Amerika Syarikat Kekal


KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada Donald Trump yang memenangi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) dan yakin kerjasama antara Malaysia dengan negara itu akan kekal.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Trump atas kemenangan luar biasa ini. Saya percaya beliau akan menggunakan kaedah yang akan membantu AS membina kerjasama dengan semua negara.

“Saya sendiri mengenali beliau secara peribadi dan beliau bukanlah seorang yang asing pada saya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Daya eUsahawan 2016 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini semalam.

Kata Najib, kemenangan Trump membuktikan bahawa rakyat negara itu mahu memiliki Presiden yang membangunkan ekonomi dan menyediakan pekerjaan yang memberi pendapatan yang lebih baik.

“Tidak ramai yang menjangkakan kejayaan Trump. Nampaknya beliau konsisten dengan mesej kempennya iaitu untuk menjadikan AS hebat.

“Rayuannya kepada rakyat AS yang telah ketinggalan dan yang mahu melihat kerajaan lebih menumpukan kepada kepentingan dan kebajikan mereka, kurang terbabit dalam campur tangan asing terbukti telah membolehkan Trump ke White House,” katanya.

AS adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia sementara Malaysia pula adalah rakan dagang ke-22 terbesar AS.

Perdagangan dua hala tahunan dalam barangan dan perkhidmatan berjumlah lebih kurang AS$44 bilion (RM186 bilion). -Kosmo

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA