Kerjasama Mahathir - DAP Bermotif Dendam?


KUALA LUMPUR: Kerjasama politik antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan DAP khususnya Lim Kit Siang hanyalah bertujuan memperdayakan rakyat negara ini demi membalas dendam politik ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, baik Dr. Mahathir mahupun Kit Siang kedua-duanya tidak boleh diletakkan harapan kerana kerjasama politik mereka hanya bermotifkan de­ndam dan bukannya mensejahterakan rakyat.

“Anda boleh nilai sendiri, beliau sebelum ini mengatakan mana-mana orang Melayu yang be­kerjasama dengan DAP merupakan mereka yang tiada jati diri tetapi lihatlah hari ini, Dr. Mahathir melompat dan tidur di atas katil politik bersama Kit Siang.

“Kerjasama politik sebegini hanya untuk memperdayakan rakyat. Saya tidak fikir kerjasama rapuh begini akan membawa kebaikan kepada negara, apa yang mereka boleh buat hanya­lah menimbulkan khianat bagi menggulingkan Najib selaku Perdana Menteri.

“Bagi saya kita tidak boleh meletakkan kepercayaan kepada mereka. Mereka hanya mahu mengambil kesempatan politik. Ironi sekali kerana selepas berpuluh tahun bermusuh kini mereka saling berpelukan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam perkembangan berasi­ngan, Tunku Abdul Aziz yang juga Ahli Panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas ke atas Bersih bagi mengelakkan kemudaratan kepada Malaysia pada masa depan.

Katanya, tindakan undang-undang itu perlu memandangkan banyak bukti telah dikemukakan mengenai tindak-tanduk Bersih yang menerima dana ­asing daripada Soros Foundation serta National Endowment for Democracy’s yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Jelasnya, terdapat banyak bukti yang Soros Foundation dan National Endowment for Democracy’s menyumbang dana bagi mencetuskan revolusi untuk menjatuhkan kepimpinan sesebuah negara untuk digantikan dengan pemimpin proksi mereka.

“Adalah sudah menjadi rahsia terbuka bahawa Bersih bekerja dan menerima dana secara terus daripada institusi ini. Malah Ambiga Sreenevasan (Datuk) sejak tahun 2011 mengakui bahawa Bersih menerima dana daripada kedua-dua institusi tersebut.

“Kita mengetahui aktiviti mereka sejak bertahun lalu tetapi apa yang memeranjatkan mereka terus diberi kebebasan untuk mengganggu keamanan dan keselamatan negara melalui arahan yang disampaikan oleh tuan-tuan mereka dari bumi ­asing,” katanya.

Menurut Tunku Abdul Aziz lagi, sebelum pilihan raya umum 2008, beliau sendiri pernah dihubungi seorang pemimpin pembangkang yang menawarkan jawatan bagi mengetuai sebuah badan pemerhati dengan dijanjikan sejumlah besar wang hasil dana asing.

Katanya, dana tersebut disumbangkan National Endowment for Democracy’s kepada pembangkang bagi memastikan demokrasi ala Amerika diwujudkan di negara ini tetapi telah ditolak secara tegas kerana beliau tidak rela kedaulatan negara terjual.

- Utusan Malaysia

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA