Kerani Ditangkap Songlap Wang Syarikat Di Miri


MIRI: Seorang kerani wanita disyaki melakukan jenayah pecah amanah dengan menggelapkan wang syarikat berjumlah RM312,840 berjaya diberkas polis malam kelmarin.

Suspek berusia 38 tahun ditangkap di rumahnya di Bandar Baru Permyjaya di sini sekitar jam 8.30 malam oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Miri.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Khoo Leng Huat berkata, tangkapan ke atas suspek dibuat berikutan satu laporan polis diterima daripada seorang pengurus sebuah syarikat perladangan kelapa sawit.

Dalam aduannya, pengadu mendakwa pada 4 November lalu, ketika sedang berada di pejabat, beliau dimaklumkan oleh seorang kakitangan bahawa seorang kerani wanita di syarikat mereka tidak hadir bertugas sejak 1 November lalu.

“Pengadu juga dimaklumkan bahawa kerani terbabit turut gagal membuat pembayaran levi bagi pekerja ladang. Suspek juga disyaki mengambil sebanyak 390 pasport milik pekerja dari tujuh ladang,” katanya.

Sehubungan itu, menurut Khoo, wanita terbabit ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan pecah amanah dengan menggunakan wang syarikat dianggar berjumlah RM312,840 yang sepatutnya diguna untuk membayar levi pekerja, namun sebaliknya disonglap untuk kepentingan peribadi.

Beliau memberitahu demikian pada sidang media di sini, petang semalam. Hadir sama, Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (KBPJKK) DSP Ang Seow Aun dan ASP Chen Chin Wah.

Menurut Khoo lagi, semasa tangkapan dibuat, polis berjaya merampas sebanyak 278 pasport Indonesia, dua buku akaun atas nama suspek, sekeping kad bank dan satu slip transaksi bank milik suspek untuk dijadikan barang kes.

“Suspek yang bekerja dengan syarikat itu selama sembilan tahun disyaki melakukan jenayah tersebut dalam tempoh sembilan hari.

“Kegiatannya terbongkar apabila tidak hadir bekerja selama sembilan hari dan tugasnya diambil alih pekerja lain yang kemudian menyedari sesuatu tidak kena berlaku apabila mendapati banyak pasport pekerja hilang,” katanya.

Manakala, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pejabat tempat suspek bekerja menunjukkan suspek ada keluar dengan membawa sebuah plastik dipercayai mengandungi pasport tersebut.

“Suspek kini telah direman selama empat hari dan tempoh reman akan tamat pada 14 November ini,” katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak melebihi 14 tahun dan sebat serta boleh didenda.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA