Kerajaan Tidak Pernah Abaikan Gelandangan, Sedia Beri Bantuan


Kerajaan tidak mengabaikan kebajikan golongan gelandangan dan beberapa kementerian juga sentiasa memainkan peranan aktif dalam menjaga serta menyalurkan bantuan kepada golongan tidak bernasib baik itu.

Bantuan berterusan seperti bantuan kebajikan, pekerjaan, kemudahan perumahan, bantuan kesihatan dan kaunseling disediakan kepada gelandangan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Kesejahteraan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut Timbalan Menteri KPWKM, Datuk Azizah Mohd, bantuan-bantuan ini turut disediakan di Anjung Singgah, Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur dan institusi–institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seperti Desa Bina Diri (DBD).

“Dalam usaha mencari penyelesaian kepada isu gelandangan ini, KPWKM akan berhubung dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi meneroka kemungkinan memberi pekerjaan kepada golongan gelandangan terutamanya mereka yang berasal dari luar bandar.

“Buat masa ini, KPWKM masih belum meneroka perancangan untuk menggunakan tanah terbiar di kawasan luar bandar bagi menjalankan aktiviti-aktiviti pertanian dalam usaha memberi pekerjaan kepada golongan gelandangan,” katanya bagi menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hasan di Dewan Rakyat, Isnin.

Terdahulu, Zaim meminta kerajaan menyatakan apakah terdapat usaha untuk mengurangkan bilangan gelandangan dengan memberikan pekerjaan di sektor pertanian khususnya denan menggunakan tanah-tanah terbiar di kawasan luar bandar.

Berdasarkan kajian yang dijalankan, Azizah berkata sebilangan besar golongan gelandangan ini terdiri daripada kaum lelaki di peringkat umur yang produktif, bujang, tidak bekerja serta sedang mencari kerja dan mempunyai taraf pendidikan yang rendah.

Jelasnya, kepelbagaian latar belakang golongan gelandangan ini memerlukan intervensi, kepakaran dan kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk pihak berkuasa bagi menangani isu gelandangan secara holistik.

Pada tahun 2015, sebanyak 1,921 operasi telah diadakan di seluruh negara termasuk di Kuala Lumpur.

Operasi menyelamat golongan gelandangan ini dilaksanakan melalui tiga jenis operasi iaitu pertama, Operasi Bersepadu di mana operasi melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) / Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), JKM, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kesihatan dan lain-lain agensi penguatkuasaan.

“Operasi ini biasanya diketuai oleh pihak PDRM atau PBT dan dijalankan sebanyak 4 kali setahun atau mengikut keperluan.

Kedua, Operasi berkala atau Berjadual pula dijalankan oleh pihak JKM di peringkat daerah, apabila mendapat aduan dari individu atau masyarakat berkaitan kewujudan aktiviti pengemisan di premis atau persekitaran mereka,” ujarnya. - BNBCC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA