Kerajaan Tentang Daesh Demi Keselamatan, Pertahanan Negara


KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan menentang propaganda dan penyebaran fahaman Daesh di negara ini adalah atas isu keselamatan dan pertahanan negara, bukannya pada pertimbangan politik. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Malaysia melihat Daesh sebagai satu ancaman dan tidak mengambil mudah mengenainya.

"Apa yang kita luahkan (mengenai Daesh) dan apa yang telah kita rancang bukan hendak menakut-nakutkan orang ramai," katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Nadi Negara 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, kegiatan Daesh kini dilihat semakin menular di negara ASEAN dengan insiden pihak berkuasa Filipina menembak mati 11 pengganas di Mindanao semalam yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan itu.

Ditanya sama ada pengganas yang ditembak mati itu melibatkan rakyat Malaysia, Hishammuddin berkata pihaknya masih menunggu laporan daripada pihak berkuasa Filipina berhubung insiden tersebut.

Hishammuddin turut melahirkan kebimbangan tentang 'arah' pengganas Daesh sekiranya tindakan offensif pasukan keselamatan di Mosul, Raqqa dan Aleppo berjaya.

"Ramai pengganas-pengganas Daesh akan lari dari Syria dan Iraq... persoalannya ke mana mereka selepas ini?" katanya.

Tanpa mendedahkan jumlah terkini rakyat Malaysia yang terlibat dengan Daesh di Syria dan Iraq, Hishammuddin berkata : "Ada segelintir daripada mereka yang telah meninggal dunia, terbunuh dalam serangan baru-baru ini, malah ada yang melarikan diri dari Syria." - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA