Kerajaan Sasar 3,000 Rumah Bina Negara Disiapkan Untuk Belia Menjelang 2020



MARAN: Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) melalui Felcra Berhad menyasarkan untuk menyiapkan 3,000 Rumah Bina Negara menjelang tahun 2020 dalam usaha membantu golongan belia di luar bandar memiliki rumah sendiri.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sasaran itu ditetapkan selaras dengan peruntukkan RM100 juta kepada Felcra Berhad seperti yang diumumkan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2017.

Menurutnya, kerajaan akan membina lebih banyak Rumah Bina Negara jika peruntukkan tambahan.

"Ini adalah sasaran kita berdasarkan bajet yang kita ada dulu, mungkin boleh berubah kalau tahun depan PM bagi RM100 juta lagi untuk 2018 lebih banyak bukan setakat 3,000 lebih daripada itu.

“2017, Felcra boleh bina 2,000 rumah maknanya dari sasaran Felcra sehingga 2020, 3,000 unit dengan bajet seperti ini. Kalau katakan 2018 dapat, 2019 dapat, maknanya lebih lagi, jadi kita cuma meletakkan sasaran berdasarkan setakat yang kita ada," katanya selepas melancarkan Rumah Bina Negara Felcra Sri Makmur di sini di bawah Skim Penyusunan Semula Kampung.

Ketika ini Felcra Berhad sedang membina 1,183 unit Rumah Bina Negara di lapan lokasi di seluruh negara dengan kos keseluruhan sebanyak RM180 juta.

Antara lokasinya di Tembangau, Pahang 216 unit, Sukau di Sabah, 124 unit; Lakai di Negeri Sembilan, 94 unit; dan Belimbing Tolak di Kedah, 100 unit; manakala di Felcra Sri Makmur Pekan 140 unit.
Sebanyak 140 unit rumah dibina berkonsep banglo di atas tanah berkeluasan 35.3 ekar.

Rumah berkeluasan 700 kaki persegi, 3 bilik tidur dan 2 bilik air itu ditawarkan pada harga RM75,000 seunit dengan ansuran bulanan serendah RM450 yang yang diuruskan oleh Felcra Berhad. - Astro Awani

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA