Kerajaan Sarawak Ambil Langkah Proaktif Bangunkan Pendidikan Negeri


KUCHING: Kerajaan Negeri telah menubuhkan Majlis Perunding Pendidikan Negeri Sarawak (MPPS) pada 1 November lepas dan telah dipersetujui oleh Majlis Mesyuarat Kabinet Negeri Sarawak.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Fatimah Abdullah berkata, ia terdiri daripada 16 ahli dan ditubuhkan untuk memeta, menentu hala tuju, memacu dan memantau pembangunan dan perkembangan pendidikan Negeri Sarawak.

“Melalui mesyuarat kabinet pada 10 November yang lalu, pihak Kerajaan Negeri Sarawak telah meluluskan peruntukan sejumlah RM4 juta untuk menjayakan program mengejar (catch up program) yang perlu dilaksanakan pada tahun 2017 oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri.

“Peruntukan tersebut diperlukan bagi membantu pihak Jabatan Pendidikan Negeri mencapai bidang keberhasilan utama (KRA) yang telah diputuskan oleh MPPS,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-Ahli MPPS di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi, fokus pertama adalah untuk menambah baik penggunaan Bahasa Inggeris.

"Kedua adalah untuk menambah bilangan pelajar yang menyertai bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik),"

“Ketiga adalah untuk menambahbaik kemudahan infrastruktur berupa bekalan air bersih dan elektrik. Keempat adalah meningkatkan pencapaian internet melalui 1BistariNet dan yang kelima, untuk mencapai sasaran 90 peratus guru tempatan yang bertugas di Negeri Sarawak,” jelas beliau lagi.

“Dengan bantuan pihak Kerajaan Negeri, kalau pun kita tidak mendahului, sekurang-kurangnya kita mampu berdiri sama tinggi dengan negeri-negeri lain di Malaysia.”

Justeru, menurut Fatimah, dengan sokongan dan kerjasama yang proaktif dari pihak Kerajaan Negeri, taraf pendidikan di Negeri Sarawak pasti akan dapat dimajukan dengan lebih cepat. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA