Kerajaan negeri lulus RM2j bantu wanita teraniaya


KUCHING: Kerajaan negeri meluluskan dana khas bernilai RM2 juta untuk membantu golongan wanita teraniaya di negeri ini mendapatkan pembelaan.

Dana khas tersebut diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sarawak di Stadium Perpaduan di sini, semalam.

“Kes-kes penganiayaan membabitkan wanita dan kanak-kanak semakin meningkat dewasa ini dan ia perlu dihentikan.

“Malah, ramai di kalangan wanita kita yang didiskriminasikan dari sudut perundangan terutama dalam kes penceraian melibatkan pasangan warga asing.

“Sebagai contoh, wanita tempatan yang berkahwin dengan warga Inggeris perlu memfailkan penceraian di England dan ini adalah tidak adil bagi wanita.

“Kita cuba untuk membuat pindaan ke atas perundangan sedia ada tetapi ia bukan perkara yang mudah kerana setiap negeri dan negara mempunyai undang-undang yang berlainan.

“Jadi, bagi menyelesaikan masalah-masalah ini, kerajaan memperuntukkan RM2 juta untuk wanita-wanita teraniaya mendapatkan khidmat guaman dan sebagainya,” ujarnya.

Pada majlis yang dihadiri oleh kira-kira 6,000 wanita dari seluruh Sarawak itu, Adenan turut menyampaikan lima Anugerah Tokoh Wanita 2016.

Anugerah tertinggi iaitu Anugerah Datuk Patinggi Laila Taib diberikan kepada Dato Ursula Goh Dumpangol yang menerima sijil penghargaan, plak kristal dan cek bernilai RM5,000.

Anugerah Ketua Menteri Usahawan Wanita dan Anugerah Ketua Menteri Kepimpinan Wanita masing-masing diterima oleh Dayang Azizah Abang Zaidan dan Serina Sauni.

Kedua-dua mereka masing-masing menerima sijil penghargaan berserta plak kristal dan cek bernilai RM3,000.

Persatuan Pengasuh Kanak-Kanak Berdaftar Sarawak pula dipilih sebagai penerima Anugerah Pertubuhan Wanita Cemerlang dan menerima sijil penghargaan, plak kristal serta cek bernilai RM10,000.

Manakala Anugerah Pencapaian Khas dalam Bidang Pendidikan diberikan kepada Prof Madya Dr Madeline Berma yang turut menerima sijil penghargaan, plak kristal serta cek bernilai RM3,000.

Bertemakan ‘Wanita Sarawak dalam Pendidikan – Membentuk Akal Minda, Jasad dan Jiwa’, majlis sambutan semalam turut dihadiri oleh isteri Ketua Menteri, Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Fatimah Abdullah dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Karim turut hadir bersama tetamu-tetamu lain.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA