Kerajaan Nafi Taja Arul Kanda Ke Luar Negara Perjelas Isu 1MDB


KUALA LUMPUR : Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy tidak ditaja kerajaan termasuk oleh Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang menganjurkan siri program di luar negara, Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari dipetik Bernama sebagai mempertahankan Arul, dengan berkata beliau juga berhak menjawab tuduhan pembangkang di Parlimen dan menjelaskan masalah yang dihadapi syarikat milik Kementerian Kewangan itu.

“Kenapa perlu panik, Arul Kanda beri penerangan tentang 1MDB sedangkan anggota Parlimen pembangkang senang-senang buat fitnah (tentang 1MDB), kenapa Arul Kanda tidak boleh diberi peluang menjelaskan mengenai 1MDB?” kata Jailani.

Beliau menjawab soalan beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan yang mahu tahu sama ada Jasa menaja kos membawa Arul untuk ke program di Sydney baru-baru ini.

“Untuk makluman, Arul Kanda pergi atas peribadi, Jasa tidak membayar kos, hanya kos makan dan minum, dia pergi atas urusan perniagaan sendiri,” katanya seperti dilapor Bernama.

Program anjuran Jasa untuk pelajar Malaysia di Sydney 4 hari lepas menyaksikan seorang wartawan The Wall Street Journal, Rachel Pannett diusir keluar.

Pengerusi program, Tun Faisal Ismail Aziz kemudian dilaporkan membidas Pannett “tidak bertamadun” kerana hadir walaupun tidak dijemput.

Jasa sebelum ini menganjurkan program menjelaskan isu 1MDB menampilkan Arul kepada pelajar universiti.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA