Kerajaan Laksana Rasionalisasi Harga Minyak Masak Untuk Kumpulan Sasar


KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanakan Rasionalisasi Harga Minyak Masak bagi menentukan jumlah kuota minyak untuk disalurkan kepada golongan sasaran yang berpendapatan rendah dan mengelakkan ketirisan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata dakwaan bahawa kerajaan tidak memperuntukkan subsidi minyak adalah tidak tepat kerana harga minyak masak paket 1 kilogram (kg) kekal pada RM2.50.

"Ada kumpulan yang memerlukan minyak masak tetapi tak sanggup untuk membeli dengan harga tinggi. Oleh sebab itu kita sebagai kerajaan mahu lihat semua kumpulan mampu beli minyak masak. Menjadi tanggungjawab kerajaan melihat kepada semua kumpulan mampu membeli, sebab itu fokus untuk 1 kg polybag (sepeket).

"Dalam perkiraan kita, kumpulan sasar B40 contohnya perlukan minyak 1 kg polybag harga RM2.50 sen dengan subsidi yang kita berikan," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) mengenai kenaikan harga minyak masak yang dihebahkan di media sosial berikutan kerajaan tidak lagi memperuntukkan subsidi ke atas produk itu dan apakah tindakan kementerian menangani isu yang mencetuskan pembelian panik oleh sesetengah pengguna, akhirnya mengakibatkan gangguan bekalan.

Hamzah berkata penstrukturan semula minyak masak itu dilakukan berikutan kenaikan harga minyak sawit daripada RM2,300 satu tan pada Januari tahun lepas kepada hampir RM3,000 satu tan sehingga September, menyebabkan kerajaan menanggung subsidi yang tinggi.

"Maka dengan rasionalisasi ini, sesiapa sahaja yang mahu membeli minyak subsidi hanya terhad kepada 1 kilogram mengikut subsidi yang diberikan, jika rasa sulit beli 1 kilogram maka silakan beli dengan harga pasaran," katanya.

Tanpa penstrukturan semula harga minyak masak itu, kerajaan terpaksa menambah perbelanjaan hampir RM100 juta sebulan untuk menanggung subsidi minyak masak bagi November dan Disember berikutan kenaikan harga minyak sawit yang diproses.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA