Keputusan UPSR: Ibu bapa Tidak Perlu Gusar


SUNGAI BULOH: Ibu bapa tidak perlu gusar dengan jumlah A diperoleh anak mereka dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), sebaliknya melihat ia secara holistik.


Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata ia berikutan calon UPSR tahun ini adalah kohort pertama yang mengikuti Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan melengkapi pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

"Pada masa sama, pembelajaran murid juga lebih menjurus kepada membudayakan unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), di mana mereka diasah berfikir secara lebih kreatif.

"Format instrumen yang berbeza pada tahun ini banyak melatih murid kemahiran berfikir terutama terhadap soalan berbentuk struktur," katanya pada sidang media di Sekolah Rendah (SK) Bukit Rahman Putra, hari ini.

Bersempena lawatan itu, Mahdzir turut menyampaikan sijil keputusan UPSR kepada 11 murid sekolah itu yang mendapat 6A.

Turut hadir Guru Besar SK Bukit Rahman Putra, Aminah Said. Keputusan UPSR 2016 yang menggunakan format baharu menyaksikan seramai 4,896 calon memperoleh keputusan cemerlang semua Gred A.

Jumlah pencapaian itu adalah 1.11 peratus daripada 452,721 calon yang menduduki peperiksaan itu September lalu.

Sehubungan itu, Mahdzir berkata, tahun ini tidak sewajarnya ada perbandingan kerana ia adalah kohort pertama melaksanakan peperiksaan itu mengikut KSSR dan PBS.-BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA