Keputusan Kerajaan Dibuat Atas Dasar Tanggungjawab - Najib



KUALA LUMPUR: Segala keputusan dan perancangan dibuat kerajaan adalah bersandarkan kepada dasar tanggungjawab demi menjamin masa depan negara yang lebih baik termasuk untuk manfaat generasi muda, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Berucap menutup Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional 2016 (Pemanas 4.0) di sini malam ini, perdana menteri menegaskan oleh kerana itu, kerajaan tidak akan mengambil keputusan berdasarkan perhitungan populis.

"Sebagai sebuah kerajaan, kita perlu bertanggungjawab bukan sahaja untuk hari ini. Kita tidak boleh lihat hanya jangka pendek tetapi juga jangka panjang.

"Kita hendak wariskan negara yang lebih baik untuk anak-anak kita. Oleh kerana itu, kerajaan mengambil dan melihat perspektif jangka panjang dan pendek.

"Antaranya ialah gagasan Transformasi Nasional 2050. Ini inisiatif yang berputik bukan sahaja dari akar umbi tetapi suara hati generasi muda termasuk pemimpin mahasiswa," katanya.

Turut hadir isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Pengerusi Biro Pendidikan UMNO, Tan Sri Ibrahim Abu Shah, Pengerusi MARA dan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Najib menarik perhatian bahawa sebarang kata putus mengenai sesuatu dasar dibuat setelah mengambil kira pandangan, cetusan dan buah fikiran setiap pihak berkenaan sebelum dilaksanakan.

"Jadi, apabila kita tentukan hala tuju, ia akan jadi visi semua rakyat Malaysia termasuk generasi muda," katanya.

Dalam pada itu, Najib menyarankan setiap mahasiswa mempunyai peta perancangan hidup atau 'road map' untuk menentukan hala tuju kehidupan mereka yang lebih baik.

Menurutnya, dunia pada masa ini dan akan datang akan menjadi lebih kompetitif berbanding dulu dan hanya mereka yang memiliki daya saing sahaja mampu berjaya dalam kehidupan.

Beliau turut menyampaikan beberapa anugerah termasuk wang tunai dan sijil penghargaan kepada peserta program antaranya bagi kategori pembahas terbaik dan kumpulan terbaik.

Pemanas adalah platform kepada mahasiswa untuk memahami dan menghayati perjuangan UMNO selain memilih wakil yang akan berucap di Perhimpunan Agung UMNO 2016 minggu depan.

Disertai 300 mahasiswa, Pemanas 4.0 berlangsung selama empat hari dengan tema 'Mahasiswa Arkitek Masa Hadapan'.- Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA