Kenaikan Harga Bahan Api Didasarkan Harga Dunia


KUALA LUMPUR - Kenaikan harga bahan api di negara ini adalah berdasarkan kepada peningkatan harga minyak mentah dunia secara mendadak sepanjang Oktober lepas, kata Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani.

Justeru, beliau berkata selaras mekanisme apungan yang dilaksanakan kerajaan sejak 1 Disember tahun lepas, harga semua bahan api pada bulan November dinaikkan 15 sen.

"Harga minyak mentah dunia pada bulan lalu (Oktober) sentiasa berubah, iaitu paling rendah AS$43 setong(RM180), manakala paling tinggi menghampiri AS$54 setong (RM226).

"Berikutan itu, berdasarkan perkiraan harga minyak mentah dunia pada Oktober menerusi kaedah apungan, harga bahan api bagi sepanjang November meningkat 15 sen," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Berkuatkuasa tengah malam tadi, harga runcit petrol RON95, RON97 dan diesel naik 15 sen seliter bagi November 2016, menjadikan harga baharu RON95 RM1.95 seliter, RON97 RM2.30 dan diesel RM1.90 seliter.

Manakala, sepanjang Oktober lalu, harga runcit petrol RM95, RON97 dan diesel masing-masing adalah RM1.80 seliter, RM2.15 seliter dan RM1.75 seliter.

Selain itu, Johari berkata harga bahan api turut dipengaruhi nilai mata wang yang sentiasa berubah mengikut peredaran ekonomi dunia.

"Kita pakai mekanisme ‘satu bulan ke belakang’, justeru harga minyak untuk Disember akan turun jika harga minyak mentah dunia menurun sepanjang bulan ini,” katanya. –Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA