Kemudahan Luar Bandar Terus Diperkasa Melalui RTP


BINTULU: Penyediaan keperluan kemudahan kawasan luar bandar akan diteruskan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di negeri ini.

Menteri Kemudahan Awam merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kemena Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kemudahan bekalan air dan elektrik 24 jam antara yang diberi tumpuan namun kerajaan mengambil beberapa pendekatan menyediakan kemudahan alternatif tenaga membabitkan penggunaan solar hibrid.

Katanya Sarawak Energy Berhad (SEB) akan merangka caranya bagi penyediaan kemudahan itu untuk penduduk luar bandar.

“Ia antara usaha kerajaan untuk memajukan kawasan luar bandar di bawah RTP,” ujarnya pada Majlis Perasmian Mobile Outreach Programme (MOP) Sebauh di Rumah Jambai@Kamaruddin Ensut oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Sungai Semebak Hulu Sebauh baru-baru ini.

Katanya, kemudahan elektrik, bekalan air bersih, perhubungan telekomunikasi dan Internet antara usaha penting dilakukan untuk memajukan kawasan luar bandar.

Beliau berkata permohonan penduduk untuk penyediaan kemudahan jambatan menyeberangi sungai kecil di rumah panjang dan beberapa rumah panjang lain pula akan dibincang lanjut dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Menurutnya, pihaknya turut memberi perhatian terhadap pelan induk untuk memajukan daerah Sebauh dan pembinaan jalan masih berbaki 32 kilometer ke Hulu Pandan.

“Saya berharap kerja pembinaan jalan masih berbaki itu akan diurus dengan beberapa cara supaya dapat disiapkan dengan segera.

“Kita meminta dana daripada kerajaan persekutuan berkaitan dengannya namun keadaan itu mengambil kira keadaan ekonomi semasa negara,” katanya.

Rundi menambah, usaha-usaha berkaitan oleh beberapa kementerian di negeri ini antara Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang diberikan oleh Ketua Menteri untuk kami supaya memberi hasil daripada pelan-pelan rancangan yang dibuat di luar bandar untuk mencapai negeri maju pada 2020.

Terdahulu Pegawai Daerah Sebauh merangkap Pengerusi MOP Sebauh Desmond Douglas Jerukan berkata, MOP itu menyenaraikan beberapa aktiviti antara lainnya ialah pameran dan menempatkan kaunter perkhidmatan sementara untuk memberi perkhidmatan berkaitan kepada penduduk.

Katanya perkhidmatan disedia ialah pendafaran e-Kasih, kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk perkhidmatan membuat dan penukaran kad pengenalan, pemeriksaan kesihatan oleh jabatan kesihatan, perkhidmatan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kaunter Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan sebagainya. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA