Kementerian Pengangkutan Laksana Siasatan Dalaman - Tiong Lai



KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan melaksanakan siasatan dalaman bagi merungkai ketirisan dikaitkan dengan kontrak penggalian bernilai RM507.77 juta.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pihaknya memandang serius butiran Laporan Ketua Audit Negara Siri 2 yang mendedahkan kepincangan aspek ketelusan dalam sistem perolehan kementerian.

Sehubungan itu, katanya, kementerian sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selain melaksanakan siasatan dalaman bagi memastikan imej kerajaan bebas daripada elemen penyelewengan kuasa.

"Saya sudah arahkan Ketua Setiausaha (Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Saripuddin Kasim) untuk segera mengadakan siasatan dalaman dan kementerian bersikap terbuka dengan apa juga arahan SPRM. "Sehingga kini, kita masih mengenal pasti elemen ketirisan untuk mendapatkan gambaran sebenar berhubung isu ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Laporan Ketua Audit Negara Siri 2 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, Isnin lalu mendedahkan Kementerian Pengangkutan menerima 15 tawaran kontrak untuk menjalankan kerja pengorekan di pelabuhan seluruh negara.

Ia merangkumi aktiviti mendalam dan melebarkan terusan bagi menjamin keselamatan kapal dagang yang belayar menerusi perairan Malaysia.

Bagaimanapun, semua tender dibatalkan dan kontrak itu diberikan kepada sebuah syarikat baharu iaitu Malaysian Maritime & Dredging Corporation Sdn Bhd (MMDC) yang ditubuhkan pada Jun 2002.

Keputusan berkenaan dibuat oleh Kementerian Kewangan yang ketika itu diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad. Perjanjian kontrak eksklusif bernilai RM507.77 juta antara kerajaan dan Malaysian Maritime & Dredging Corporation Sdn Bhd (MMDC) itu ditandatangani pada Oktober 2005.

Tempoh kontrak itu adalah untuk 15 tahun, bermula dari 19 Oktober 2005 hingga 18 Oktober 2020, namun Jabatan Audit Negara tidak menemui dokumen berkaitan perolehan kontrak terbabit. Tiong Lai berkata, kementerian berdepan kesukaran untuk menyiasat perkara berkenaan kerana ia berlaku kira-kira 14 tahun lalu.

"Kita perlukan masa untuk menjejak kembali butiran perjanjian dan dokumen yang mungkin digunakan dalam perolehan ini," katanya. - BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA