Kementerian Pendidikan Kenal Pasti Guru Belum Daftar Sebaga Pengundi



PADANG TERAP: Kementerian Pendidikan mengenal pasti sejumlah warga pendidik daripada keseluruhan 430,000 golongan itu di seluruh negara yang belum mendaftar sebagai pengundi.

Tanpa menyatakan secara terperinci jumlah itu, menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata beliau menerima laporan mengenai bilangan guru yang belum mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengikut daerah.

"Jumlahnya saya tidak dapat umumkan lagi, nanti di lain hari saya beritahu. Ini tanggungjawab kepada negara. Sebagai warganegara kita mempunyai tanggungjawab dan salah satunya menjadi pengundi apabila tiba pilihan raya," katanya.

Justeru, Mahdzir menasihati guru-guru yang belum mendaftar sebagai pengundi agar segera berbuat demikian.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Guru Bersama Masyarakat: Guru Pembina Negara Bangsa peringkat Kedah di Sekolah Menengah Kebangsaan Naka di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Seri Alias Ahmad dan Pengarah Pendidikan Kedah Datuk Azuyah Hassan.

Terdahulu dalam ucapannya, Mahdzir melihat keperluan adanya 'guru aktif' di peringkat masyarakat bagi membolehkan kemenjadian murid dan sekolah.

Kelompok guru aktif ini ialah mereka yang boleh bekerjasama dengan sekolah, Jabatan Pendidikan serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru dalam menggembleng tenaga menjadi sebahagian daripada kumpulan yang mengarusperdanakan program dan agenda di peringkat masyarakat, katanya.

Beliau berkata 'guru aktif' pertama kali diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menjadi Menteri Pendidikan kira-kira 20 tahun lalu, yang menyarankan beliau untuk mengguna pakai semula konsep tersebut.

"Melihat perkara ini sebagai satu perkara baik dan boleh diketengah dan digerakkan semula, saya memaklumkan kepada pengurusan tertinggi kementerian sehinggalah kepada Jabatan Pendidikan negeri dan daerah untuk ia dimulakan," katanya.
Anggota Parlimen Padang Terap itu juga mahu setiap warga pendidik berhati-hati dengan ledakan teknologi maklumat ketika ini yang tidak mengira batas sempadan dan waktu.

"Guru perlu bijak buat penilaian sebelum terima sesuatu maklumat, mana satu maklumat yang boleh diambil dan tidak," katanya.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA