Kementerian Kesal Forensik Silap Hantar Mayat Kepada Waris



GEORGETOWN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kesal dengan kejadian kesilapan penyerahan mayat lelaki kepada waris keluarga lain di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang (HPP), semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan siasatan awal pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang dan HPP mengesahkan perkara berkenaan berlaku dan siasatan dalaman sedang dijalankan.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius mengenai insiden yang berlaku dan pihak JKN dan HPP telah berjumpa dengan waris mangsa bagi memberi penjelasan dan berbincang mengenai perkara berkenaan.

"Pihak kementerian berpendirian bahawa kejadian itu tidak sewajarnya berlaku di mana-mana hospital, sama ada hospital kerajaan ataupun swasta.

"Pihak hospital dan Jabatan Forensik sememangnya sudah mempunyai Garis Panduan serta Standard Operating Procedure (SOP) of Forensic Medicine Service di mana ia telah menggariskan tatacara penyerahan mayat kepada waris," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, tindakan tegas telah diambil terhadap kakitangan yang tidak bertanggungjawab serta tidak mematuhi peraturan serta SOP ini.

Menurutnya, kakitangan terbabit digantung tugas serta akan dihadapkan dengan tindakan tatatertib yang tegas.

Katanya, KKM sudah mengeluarkan arahan penambahbaikan serta-merta kepada pihak hospital terbabit bagi mengelakkan hal sama daripada berulang.

Difahamkan mangsa yang dikenali sebagai Fong meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan dan mayatnya dihantar ke HPP.- Harian Metro

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA