Kelab 3K Pupuk Pengetahuan Dan Keselamatan Kebakaran


KUCHING: Kelab Keselamatan Kebakaran Kanak-Kanak (Kelab 3K) adalah salah satu program Pembelajaran dan Kesedaran Awam yang diasaskan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dikhususkan untuk kanak-kanak.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Sarawak), Nor Hisham Mohammad, Kelab tersebut diwujudkan untuk memupuk pengetahuan dan kefahaman asas tentang keselamatan kebakaran kepada kanak-kanak yang bakal menempuh alam persekolahan dalam perjuangan Jabatan Bomba memartabatkan didikan awal.

“Ia merupakan inisiatif jabatan dalam mendidik kanak-kanak tentang keselamatan kebakaran melalui modul ‘Learn Not To Burn’ yang diadaptasi daripada National Fire Protection Association,” katanya

Nor Hisham berkata, kanak-kanak memerlukan ruang yang kondusif untuk belajar dengan berkesan khusus tentang keselamatan dan kesedaran kebakaran.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Didikan 3K di Balai Bomba Batu Lintang, di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, sebanyak 459 buah kelab 3K telah diwujudkan di tadika seluruh Sarawak. Pada asalnya, sasaran jumlah kelab hanyalah sebanyak 300 buah namun, dengan permintaan yang tinggi serta sokongan kuat daripada pihak KEMAS, kuota kelab ditambah menjadi 459 buah.

"Pusat Didikan 3K ini merupakan yang pertama di Sarawak, Penyediaan pusat tersebut telah dimulakan pada tahun 2012 secara beransur-ansur hinggalah ia mampu disiapkan pada tahun 2016," ujarnya

Turut berlangsung ketika majlis tersebut ialah pertandingan mewarna dikalangan pelajar tadika yang berkunjung ke pusat tersebut. - Sarawakiana


No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA