Keindukan Berteraskan Melayu, Bumiputera Prinsip Penting Penyatuan Bangsa - Najib


SHAH ALAM, 10 Nov (Bernama) -- Keindukan yang berteraskan Melayu dan Bumiputera menjadi prinsip penting kepada penyatuan bangsa di Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata ini kerana kedua-dua asas itu iaitu Melayu dan Bumiputera merupakan perkara utama yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Najib menarik perhatian bahawa jika dilihat kepada perlembagaan, bahasa Melayu adalah bahasa rasmi tetapi bahasa lain dibenar dituturkan secara bebas di Malaysia.

"Islam juga adalah agama rasmi tetapi agama lain dibenar diamalkan dengan bebas dan ketua negara kita ialah Yang di-Pertuan Agong yang dipilih dalam kalangan sembilan raja Melayu.

"Kalau terima prinsip ini, maka mudah kita ke hadapan... bila nak majukan negara mesti majukan semua kaum tetapi jangan biarkan Melayu dan Bumiputera ketinggalan," katanya ketika menutup Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar dan Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Prof Datuk Hassan Said.

Najib merupakan penaung kepada konvensyen selama tiga hari itu.

-- BERNAMA


No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA