Kecemerlangan Sesebuah Sekolah Diukur Dari Banyak Aspek - Fatimah


KUCHING: Kecemerlangan sesebuah sekolah diukur dari banyak aspek, antaranya kecemerlangan akademik, ko-kurikulum, pentadbiran, hubungan ibu bapa dan guru serta sikap dan disiplin guru.

Menurut Menteri Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Hajah Fatimah Abdullah, falsafah pendidikan memerlukan setiap guru untuk memberikan didikan dan peluang terbaik kepada setiap pelajar dibawah tanggungjawab mereka.

“Setiap pelajar adalah berbeza dan memiliki potensi masing-masing. Potensi itulah yang perlu dikembangkan ke tahap maksimum,” katanya ketika merasmikan Majlis Konvokesyen dan Anugerah Kecemerlangan Pelajar 2016 di SMK Batu Lintang, di sini, hari ini.

“Kita akui, masih banyak kekurangan yang perlu dipenuhi namun, dengan adanya hubungan yang baik antara pengetua, guru dan ibu bapa, banyak cabaran akan dapat diatasi bersama,” tambah beliau.

Tegas beliau, apa yang kita mahukan ialah melahirkan pelajar yang mampu berdikari, mampu berinteraksi dalam komuniti, menjadi ahli komuniti yang baik serta memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negara.

Fatimah turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada SMK Batu Lintang, manakala Naim Cendera Holdings menyampaikan sumbangan berjumlah RM4,000. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA