Ke Mana Halatuju AS Selepas Obama?


KALAU tidak kerana Brexit (dan kemudian, Donald Trump), saya tidak mungkin akan berkunjung ke Amerika Syarikat.

Mendarat di London pada pagi 23 Jun 2016, saya adalah antara jutaan orang yang tergamam dengan tindak balas pengundi terhadap sempadan terbuka, perdagangan bebas serta elit liberal dan kosmopolitan.

Biarpun ‘Ceritalah USA’ merupakan satu usaha yang jelas dan mudah, saya suka membayangkan bahawa saya sedang cuba menyelongkar apa yang sedang dipertaruhkan untuk dunia.

Pada satu lapis, catatan-catatan saya akan cuba membantu pembaca— sama ada mereka di Quezon City, Danang, Kuching atau Surabaya — memahami apakah ertinya pertembungan sengit yang jelik antara tokoh antarabangsa sekali gus teknokrat, Hillary Clinton dengan Donald “America First” Trump kepada rantau kita.

Kita perlu tahu apakah AS masih lagi adikuasa dunia yang ulung atau apakah prestijnya sudah teruk tercalar? Setelah menguasai Asia Pasifik sejak Perang Dunia Kedua, bolehkah Amerika meneruskan penguasaannya?

Atau apakah ia akan tunduk kepada China dan membenarkan Asia Tenggara jadi lebih bertenaga berbanding bangsa Cina yang disamakan dengan Kepulauan Carribean?

Apakah dasar Condong ke Asia yang dikemukakan oleh Barack Obama menjadi satu perubahan dasar yang berani atau apakah kegagalan TPP yang hampir pasti menandakan pukulan maut pada cita-cita itu?

Dengan citra 'Ceritalah' yang sebenarnya, saya akan menjelajah dan mendengar suara rakyat terbanyak Amerika, terutamanya diaspora Asia Tenggara.

Dianggarkan ada lebih kurang 4 juta orang Filipino dan 1.8 juta warga Vietnam Amerika. Apakah mereka bersemangat tentang “Tanah Orang-Orang Bebas dan Rumah Para Pemberani”? Apakah yang difikirkan oleh warga Filipino Amerika tentang dasar “pemisahan” daripada AS yang dikemukakan oleh Presiden Duterte?

Saya juga akan meneroka beberapa wilayah di Amerika termasuk Lembah Silikon dengan industri teknologinya yang menggegar dunia, enklaf Latino di selatan Texas, daerah pedalaman yang mati di Arkansas, kawasan perindustrian Michigan, bahagian tengah bandar di Baltimore yang kusam (terkenal melalui siri TV, The Wire), Washington DC dan akhirnya, ibu kota global yang utama: New York, New York (yang pernah dilagukan so good they named it twice).

Tetapi seperti yang saya katakan, saya mahu menggali lebih dalam sepanjang kembara saya di Amerika ini.

Saya mendarat di London pada hari Brexit untuk menziarahi ibu saya yang berusia 83 yang ketika itu baru patah kaki.

Pemandu teksi saya, seorang kelahiran Bangladesh yang juga penyokong tegar usul Kekal dalam Kesatuan Eropah, memberitahu: “Saya hidup dengan ihsan orang mendatang. Gilalah saya kalau mengundi Brexit. Tetapi ada banyak orang yang tidak gembira, yang merasakan tempat ini sudah kebanjiran pendatang. Cerita ini tidak dilaporkan, seperti pagi tadi semasa saya berbaris untuk mengundi, saya dikelilingi oleh mereka yang berperasaan demikian dan mereka sangat tegas.” Anehnya, dia tidak sedikit pun merasakan dirinya seorang pendatang.

Kemudian, bersama ibu di hospital di pedalaman Suffolk (tempat Brexit menang besar), saya ingat bagaimana dia menggelengkan kepala sewaktu saya unjukkan kepadanya akhbar Financial Times yang tegar menyokong Kekal. “Jangan tinggalkan surat khabar itu di sini, susah aku nanti. Mereka nampaknya tidak sukakan aku.”

Berjumpa teman-teman lama semasa zaman universiti di London, saya terpegun dengan rasa hairan mereka. Kekecewaan (dan bagi mereka yang bukan kelahiran Britain, kebimbangan) sangat ketara.

Perbualan saya dengan mereka semasa kembara itu terus menghantui, sampai kini.

Bagaimana mungkin begitu banyak tinjauan pendapat, wartawan dan pengulas tersalah membaca keadaan? Bagaimana mungkin mereka tidak dapat menangkap gelombang kemarahan yang membuak? Bagaimana penyokong Brexit boleh menang? Siapakah yang menyemai kebencian kaum dan bolehkah kebencian itu dibendung?

Kerana membesar dengan pemikiran-pemikiran garis tengah dan liberal seperti Alfred Bloom dan Francis Fukuyama, saya menerima keterbukaan dan toleransi demokrasi liberal Barat sebagai kelaziman.

Barat sentiasa bergerak maju: melampaui kaum, gender dan kecenderungan budaya.

Tetapi sekarang, duduk di rumah ibu di Suffolk, saya mula mengesan pemikiran yang agak tertutup malah penolakan terhadap kepercayaan liberalisme.

Apakah Brexit dan kini kemunculan Trump dengan retorik perkaumannya merupakan petanda kepada sesuatu yang lebih jelik di Barat? Apakah gesaan terhadap perdagangan bebas dan globalisasi yang lebih luas telah merobek-robek kelas pekerja tradisional — dan sekarang kelas menengah — sehingga menyebabkan mereka terluka, jatuh miskin dan marah-marah?

Apakah pemilihan presiden Afrika Amerika (Obama) dan Datuk Bandar London beragama Islam (Sadiq Khan) yang pertama merupakan “kemuncak demokrasi liberal” yang akan digantikan dengan cauvinisme yang berakar umbi pada masyarakat yang bangun untuk menuntut tempatnya?

Apakah mimpi Amerika sedang merebak bertukar jadi igauan Amerika?

Apakah kita sedang menyaksikan kebangkitan populis melindungi Peribumi yang boleh dibandingkan dengan keadaan pada 1930-an ketika dunia meluru ke arah totalitarianisme dan perang?

Apatah lagi, keresahan terhadap demokrasi tidak boleh ditanggapi dalam keterasingan. Ketika China tumbuh dengan dinamik dan makmur, sistemnya yang secara terbuka tidak demokratik meraih kredibiliti dan mendapat darjat.

Pemilihan Presiden Amerika pada 8 November ini akan beri kesan besar kepada Asia Tenggara dan tentunya, politik global. Dua calon yang bertanding menawarkan sudut pandang Amerika dan komitmennya kepada dunia yang sangat berbeza.

Sekiranya AS kendur daripada mempromosikan demokrasi, hak asasi manusia, kebebasan bersuara, ketelusan dan kebertanggungjawaban, kesannya akan jadi langsung dan mendalam.

Oleh itu, biar pun kembara ini umumnya adalah tentang pilihan raya Amerika dan kesannya ke atas Asia Tenggara, ia sebenarnya tentang apakah keunggulan dan prinsip demokrasi - terutama yang digagaskan oleh Jefferson dan Lincoln - boleh utuh bertahan.-SH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA