KDN Nafi Beri Kerakyatan Malaysia Kepada Zakir Naik

PIHAK Kementerian Dalam Negeri menafikan berita pendakwah Islam terkenal, Dr. Zakir Naik, sudah diberikan kewarganegaraan Malaysia seperti dilaporkan sebuah akhbar India baru-baru ini.

Hindustan Times sebelum ini mendakwa Zakir kini konon memegang dwikerakyatan India dan Malaysia, serta bersembunyi di Malaysia setelah pihak berkuasa India mengharamkan Yayasan Kajian Islam (IRF) miliknya.

Dalam laporan harian itu lagi, seorang wakil Zakir dipetik sebagai berkata bahawa kerakyatan Malaysia itu malah ditawarkan sebagai satu pakej kepada beliau apabila pernah diberikan anugerah Tokoh Maal Hijrah pada 2013 lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed memberitahu akhbar New Straits Times (NST) bahawa permohonan akan mengambil masa yang lama sebelum seseorang diberikan kewarganegaraan Malaysia.

“Kami tidak memberikan (kerakyatan) secara automatik kecuali jika individu itu dilahirkan dalam negara kepada ibu bapa Malaysia,” katanya kepada NST sebagai menafikan laporan akhbar berpengaruh India tersebut.

Nur Jazlan menambah bahawa Zakir bahkan tidak pula dianggap sebagai tokoh pendakwah yang begitu penting di rantau Asia Tenggara hingga perlu kerajaan Malaysia perlu memberikan keistimewaan kerakyatan secara mudah.

“Zakir bukan pun personaliti agama penting bagi rantau Asia Tenggara, kerana kita di Malaysia mempunyai model Islam sederhana sendiri yang sesuai dengan ‘budaya lembut’ rakyat di sini,” ujar Nur Jazlan lagi kepada NST.

Beliau menambah bahawa meskipun sesetengah idea kontroversi Zakir boleh digunakan di Malaysia, ia sebenarnya lebih menjurus kepada situasi permasalahan umat Islam setempat di sekitar India dan rantau Asia Selatan.

Menurut NST, pihak berkuasa India dilaporkan sedang menimbangkan dakwaan pengganasan terhadap Zakir, 51, berdasarkan keterangan kira-kira 50 suspek pengganas dan banduan yang direkodkan dari pelbagai penjara.

Pesalah terbabit dikatakan menganggap beliau atau nama penuhnya Zakir Abdul Karim Naik sebagai idola sumber motivasi dan inspirasi. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA