Kapal Kargo Karam Selepas Enjin Rosak


Indonesia: Empat kru maut apabila sebuah kapal kargo yang membawa muatan simen karam selepas berlanggar dengan dua lagi kapal kargo di perairan Gresik kelmarin.

Kejadian berlaku ketika kapal Dewaruci Perkasa baru menaikkan 1,000 tan simen di sebuah pelabuhan di sini sebelum belayar untuk mencari tempat berlabuh sementara.

Kapal itu berlabuh sementara untuk membuat persiapan sebelum meneruskan perjalanan menuju ke Pulang Pisang di Kalimantan Tengah.


Bagaimanapun, kapal itu tiba-tiba mengalami kerosakan enjin menyebabkan ia hanyut sebelum melanggar kapal kargo KM Dholpin Nusantara.

Jurucakap polis berkata, pelanggaran itu menyebabkan kapal Dewaruci Perkasa bocor sebelum melanggar pula kapal KM Jaya Lestari.

Pelanggaran kali kedua itu menyebabkan kapal Dewaruci Perkasa yang membawa 14 anak kapal menyenget sebelum tenggelam pada jam 2 petang (waktu tempatan).

“Sepuluh anak kapal berjaya diselamatkan oleh beberapa kapal yang berada di lokasi kejadian tetapi empat mangsa dipercayai terperangkap.

“Keadaan laut yang dalam serta arus yang deras menyebabkan usaha mencari mangsa dipercayai terperangkap di dalam kapal itu sangat sukar,” katanya. - Agensi

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA