Kanak-Kanak 9 Tahun Selamatkan Adik 11 Bulan


SEORANG kanak-kanak berusia 9 tahun menjadi sensasi Internet setelah tindakan pantasnya menyelamatkan adiknya yang berusia 11 bulan dari terjatuh menjadi bualan warga siber.

Reaksi pantas Joseph Levi; 9, menyelamatkan adiknya Eitan berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang berada dalam rumahnya di Bal Harbour, Florida, Amerika Syarikat.

Menurut sebuah laman antarabangsa, difahamkan kejadian itu berlaku ketika ibu Joseph iaitu Tila Levi hendak menukar lampin Eitan di tempat menukar lampin setinggi paras pinggang namun mengalihkan perhatiannya kepada anaknya yang lain meninggalkan bayinya sendirian.

Menerusi video yang dikongsi, Eitan yang terbaring dilihat bergerak dan tergolek jatuh sebelum diselamatkan oleh Joseph yang berada beberapa kaki dari tempat menyalin lampin itu.

Tindakan pantas Joseph berjaya menyelamatkan adiknya dari tersembam ke lantai.

Levi yang terkejut dengan insiden itu dilihat segera mendapatkan kedua-dua anaknya dan merangkul mereka.

Ketika ditemubual oleh portal berita CNN, Levi berharap video yang dikongsinya itu dapat memberi pengajaran dan kesedaran kepada ibu bapa di luar sana supaya lebih berhati-hati dan memberikan tumpuan ketika menguruskan anak-anak. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA