Kafe Fattah Amin Diserbu Peminat Penangan 'Suri Hati Mr Pilot'


KUALA LUMPUR: Pelakon Fattah Amin mengakui penangan drama Suri Hati Mr Pilot memberi impak besar dalam perniagaan restorannya apabila Stalkercafe diserbu pengunjung yang berhajat untuk bertemunya.

Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 26, berkata, kafe yang diambil alih sejak sebulan lalu itu menerima sambutan yang sangat menggalakkan setiap hari.

"Alhamdulillah, kesan terlalu besar hinggakan setiap hari kafe saya iaitu Stalkercafe by Fattah Amin di Kota Damansara diserbu oleh orang ramai yang meminati drama tersebut.

"Sehinggakan menu-menu utama habis terutama Nasi Lemak dan The Godfather Sandwich.

"Buat masa ini ibu dan ahli keluarga lain yang uruskan perniagaan itu kerana saya terlalu sibuk," ujarnya kepada mStar Online.

Fattah ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta makanan kesihatan Oli Candy yang diadakan di Flora Terrace, di sini, Selasa.

Pelakon ini mengikat kontrak selama tiga bulan bersama produk tersebut.

Sementara itu, Fattah berkata, dia juga akan bercuti lebih sebulan sehingga akhir tahun ini bagi menumpukan perhatian kepada beberapa perniagaan yang diusahakannya.

"Selepas telefilem Bayangan Emilia saya akan berehat daripada bidang lakonan sehingga awal tahun depan untuk uruskan perniagaan saya.

"Selain kafe, saya juga dalam proses memindahkan lokasi gimnasium di tempat lain yang saya akan beritahu kemudian," ujarnya.

Sementara itu, ditanya tentang tawaran sebagai duta produk selepas meraih populariti luar biasa, Fattah berkata, dia hanya memilih produk yang sesuai dengannya.

"Saya akui banyak tawaran untuk kempen dan duta produk tapi ada juga yang terpaksa kami tolak berikutan tidak sesuai.

"Kalau boleh saya mahu produk yang relevan dengan saya.

"Saya juga tidak mahu kaut semua tawaran-tawaran kerana takut tidak mahu komitmen itu akan menjejaskan fokus terhadap lakonan," ujarnya.-mStar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA