Kad untuk warga emas 60 tahun ke atas dirancang: Rohani Karim

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam perancangan untuk memperkenalkan kad warga emas khas untuk mereka yang berumur 60 tahun dan ke atas.

Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata cadangan ini telah diutarakan oleh Ahli Parlimen dalam sidang Parlimen baru-baru ini sebagai persiapan menghadapi negara tua menjelang 2035.

“Di negara lain mereka sudah ada kad untuk warga emas berumur 60 tahun dan ke atas, sebab itu dicadangkan supaya kita juga memperkenalkan kad yang sama.

“Jadi saya katakan biarkan saya berbincang dahulu dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) supaya tidak meniru fungsi-fungsi kad sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Kuching yang terletak di Jalan Merak, Kampung Malaysia Jaya di sini semalam.

Tambah Rohani, bagi memastikan kad ini praktikal untuk digunakan, beliau akan mengkaji apa yang dibuat oleh negara lain bagi melihat kesaksamaannya.

“Bagi saya ini merupakan satu cadangan yang baik sebab ia akan memudahkan warga emas memperkenalkan diri dan menikmati faedah-faedah tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, 9.9 peratus daripada 30 juta populasi rakyat Malaysia merupakan warga emas dengan 120,000 daripadanya merupakan penerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Selain kad warga emas, satu lagi cadangan yang disokong penuh oleh kementerian ialah untuk memperbanyakkan PAWE dengan mewujudkan PAWE mini.

Dengan cara ini warga emas katanya, akan mempunyai tempat untuk berkumpul di mana-mana seperti surau, masjid, gereja, tokong dan tempat-tempat lain yang boleh ditukar bagi tujuan PAWE.

Terdahulu dalam ucapan pada majlis itu, Rohani berkata pengwujudan PAWE merupakan satu daripada langkah kementerian untuk warga emas menjalankan pelbagai aktiviti.

Selaras dengan itu, 51 PAWE telah ditubuhkan dan telah beroperasi di seluruh negara dengan lapan daripadanya berada di Sarawak.

Lapan PAWE di Sarawak ialah PAWE Kuching, PAWE Sebuyau, PAWE Lingga, PAWE Beladin, PAWE Sibu, PAWE Dalat, PAWE Tatau dan PAWE Miri dengan keseluruhan keahlian seramai 16,209 orang.

PAWE Kuching mempunyai seramai 208 ahli berdaftar dan dipengerusikan oleh Datuk Sharifah Mordiah Tuanku Fauzi.- UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA