Jutawan Iklan Berpisah Dengan Kekasih Dalam Akhbar


JUTAWAN Hong Kong, Joseph Lau yang menduduki tangga ke-65 sebagai individu paling kaya di dunia dengan harta bernilai RM54 bilion telah mengiklan satu muka penuh dalam akhbar tempatan untuk mengumumkan beliau telah berpisah dengan kekasihnya.

Dalam pemberitahuan di beberapa akhbar, Lau memberitahu bahawa bekas kekasihnya itu, Yvonne Lui tidak akan mendapat lebih daripada RM1 bilion iaitu wang yang telah diterimanya ketika pasangan itu berpisah pada 2014.

“Ms Lui (Yvonne) telah mengumpul kekayaan yang banyak dan dia kini seorang wanita yang kaya. Dia boleh mengekalkan kehidupan mewahnya sendirian tanpa bantuan kewangan daripada saya,’’ katanya dalam kenyataan terbabit.

Joseph, 65, yang merupakan jutawan runcit, bertemu Yvonne pada 2001 di butik Luis Vuitton di London ketika bekas peserta ratu cantik itu menyambung pengajian PhD dalam kejuruteraan kimia di King’s College.

Mereka mempunyai dua anak bersama namun tidak pernah berkahwin. Mereka masih mengekalkan hubungan meskipun Joseph sering dikaitkan dengan wanita lain.

Kekasih terbaru Joseph ketika ini adalah bekas pembantunya, Kimbie Chan.

Joseph terpaksa membuat pengumuman berkenaan susulan laporan tidak benar mengenai hubungannya dengan Yvonne, 37.

Jutawan itu memang terkenal dengan kekayaannya dan pada November tahun lepas, beliau mengejutkan ramai apabila membelanjakan sebanyak RM174 juta untuk membeli berlian `Blue Moon’ yang dinamakan sempena nama anak perempuannya dengan Kimbie yang berusia tujuh tahun.

Joseph dan Kimbie mempunyai dua orang anak. – mynewshub.cc

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA