Jual Bayi: Menteri Gesa Polis Siasat, Tangkap Individu Terlibat


KUCHING: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Rohani Abdul Karim meminta pihak polis segera menyiasat laporan mengenai pemerdagangan bayi di negara ini.

Rohani merujuk kepada laporan bertajuk “Malaysia: Babies For Sale-101 East” yang disiarkan oleh Al-Jazeera yang kononnya Malaysia adalah negara terbesar yang mencatatkan aktiviti penjualan bayi di dunia.

“Oleh itu, Kementerian menyeru polis mengambil tindakan segera untuk menangkap mereka yang terlibat dalam urus niaga yang tidak bermoral ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kepimpinan Transformasi Ketua-Ketua Masyarakat Parlimen Batang Lupar di pusat peranginan Damai, kira-kira 35 kilometer dari sini semalam.

Rohani yang juga ahli Parlimen Batang Lupar berkata kementeriannya mengecam sekeras-kerasnya sebarang aktiviti penjualan kanak-kanak yang dilakukan di Malaysia.

Beliau berkata pihaknya tidak tahu sama ada ia membabitkan penjualan bayi-bayi berkenaan kepada penduduk tempatan atau kepada orang luar negara, ataupun ia membabitkan bayi yang dilahir oleh wanita rakyat tempatan atau wanita rakyat asing.

“Sebagai pelindung kanak-kanak dan juga isu keluarga, KPWKM akan memberi bantuan sepenuhnya kepada pihak polis dalam siasatan kes berkenaan,” tambahnya.

Rohani berkata beliau akan memanggil satu mesyuarat di bawah Majlis Kanak-Kanak minggu depan untuk berbincang mengenai aktiviti pemerdagangan kanak-kanak seperti dilaporkan oleh TV Al-Jazeera, dan turut melibatkan Kementerian Luar, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Dalam Negeri serta pihak polis.
Rohani berkata laporan stesen TV berkenaan mencemarkan nama baik Malaysia di mata dunia apabila dilabelkan Malaysia sebagai negara terbesar dalam aktiviti penjualan bayi.

“Saya sebenarnya berasa amat terkilan kerana apakah bukti perbandingan yang negara kita menjadi negara terbesar dalam aktiviti penjualan bayi, tetapi pada masa yang sama ia mungkin satu ‘wake-up call’ untuk kita,” kata Rohani.

Sebelum ini, dalam kenyataan akhbarnya baru-baru ini Rohani berkata penjualan kanak-kanak adalah bercanggah dengan Artikel 35 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) dan juga Protokol Pilihan berkenaan penjualan kanak-kanak, pelacuran dan bahan-bahan lucah terhadap kanak-kanak.

Katanya, sebagai sebuah negara pilihan kepada CRC dan protokol pilihannya, Malaysia mempunyai komitmen untuk mengambil segala langkah untuk mencegah kanak-kanak daripada sebarang aktiviti penjualan dan pelacuran.

Seksyen 48, Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611] menetapkan mana-mana orang yang terlibat dalam pemerdangan kanak-kanak melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.

Sekiranya dibuat bagi tujuan eksploitasi seksual atau pelacuran pula, ia boleh dihukum di bawah seksyen 43(1)(aa) Akta yang sama iaitu denda RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi 15 tahun atau kedua-duanya.

Selain itu, dalam Akta Kanak-Kanak Pindaan 2016 baru-baru ini, KPWKM juga memasukkan elemen yang membolehkan Malaysia melaksanakan konsep “Pemeliharaan Berasaskan Keluarga”(PBK), katanya.

Konsep ini mengutamakan penjagaan kanak-kanak oleh keluarga dan menjadikan institusi sebagai pilihan terakhir kerana keluarga adalah tempat yang paling baik untuk kanak-kanak membesar.

Rohani berkata KPWKM akan menubuhkan 2 jawatankuasa dalam masa terdekat, iaitu jawatankuasa pemandu dan teknikal yang melibatkan pelbagai stakeholders dalam melaksanakan PBK.

Beliau berkata bagi pelaksanaan konsep ini, kerajaan perlu mempermudahkan prosedur pengangkatan (adoption) dan pemeliharaan (fostering) bagi memudahkan rakyat Malaysia untuk menjaga kanak-kanak yang ditinggalkan di rumah anak yatim.

Prosedur pengangkatan adalah di bawah undang-undang pengangkatan yang ditadbir bawah Jabatan Pendaftaran Negara manakala prosedur pemeliharaan pula ditadbir di bawah KPWKM.

Justeru, KPWKM menyeru ibu bapa yang ingin mengambil anak angkat atau anak pelihara supaya menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah untuk mendapatkan nasihat dari pegawai JKM.- Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA