Jual Badan Untuk Dadah


GEORGETOWN: Jual badan untuk dadah. Itu dilakukan segelintir pelacur ‘veteran’ yang menjalankan aktiviti persundalan mereka di Jalan Perlis, di sini, dengan hanya mengenakan bayaran serendah RM20 kepada pelanggan yang ingin melampiaskan nafsu.

Golongan pelacur berusia lingkungan 40-an hingga 60-an yang layak digelar nenek itu dikesan sanggup menjual tubuh kerana ketagihan heroin dan tidak kisah siapa sahaja pelanggan mereka.

Tinjauan Harian Metro di lokasi maksiat itu mendapati golongan pelacur berkenaan menjadikan bilik kecil dalam sebuah premis untuk menjalankan aktiviti tidak bermoral mereka.

Bilik kecil terbabit hanya dilengkapi tilam berbau hapak serta hancing dan pelanggan yang mahu mendapatkan khidmat seks perlu membayar wang tambahan berjumlah RM5 untuk harga bilik.

Difahamkan, bilik berkenaan disewa mereka dengan harga RM100 sebulan daripada pemilik premis rumah kedai itu.

Ketika ditanya, ada antara pelacur terbabit mengaku mereka boleh memperoleh RM100 untuk semalaman dan mendakwa kebanyakan pelanggan mereka terdiri daripada lelaki warga asing seperti Nepal dan Bangladesh.

Perbuatan mereka itu bagaimanapun terbongkar apabila ‘port’ berkenaan diserbu sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, malam kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Superintendan Maidu Abu Bakar berkata, operasi terbabit dilakukan bermula jam 10 malam hasil maklumat orang ramai dan risikan polis.

Beliau juga berkata, dalam operasi berkenaan, seramai 27 individu membabitkan 10 lelaki dan 17 wanita ditahan bagi membantu siasatan.

“Mereka dibawa ke IPD Timur Laut untuk menjalani ujian air kencing dan kita akan melakukan operasi secara berterusan bagi membanteras gejala penagihan dadah,” katanya ketika ditemui.-HM

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA