JPN Daftar Lebih Setengah Juta Anak Luar Nikah


KUALA LUMPUR: Sebanyak 532,158 kelahiran anak tidak sah taraf atau anak luar nikah didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dari tahun 2005 hingga 2015.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata data Polis Diraja Malaysia pula menunjukkan bagi tempoh yang sama, terdapat 526 kes pembuangan bayi.

“Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, bilangan kes kehamilan remaja belum berkahwin bagi tahun 2012 hingga 2015 adalah sebanyak 16,270.

“Berdasarkan Statistik Remaja Hamil Jabatan Kesihatan Negeri 2012 hingga 2015, tiga negeri dengan statistik tertinggi remaja berumur 10 hingga 19 tahun hamil adalah
Sarawak (5,246 orang), Johor (2,427 orang) dan Selangor (1,603 orang),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang diedarkan di Parlimen hari ini bagi menjawab soalan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) mengenai jumlah bayi luar nikah dilahirkan dalam masa 10 tahun dari 2005 hingga 2015 dan tindakan bagi menyelesaikan masalah kelahiran luar nikah itu.

Menjelas lanjut, Rohani berkata pihaknya tidak mempunyai data khusus bagi kes-kes itu dan kementeriannya menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) lebih menumpukan pada program-program berbentuk intervensi dan pencegahan.

Ia termasuk memberi pengetahuan dan kemahiran pendidikan kekeluargaan dan keibubapaan serta program berkaitan kesihatan reproduktif dan seksualiti kepada remaja, keluarga dan masyarakat.

Kerajaan mewujudkan Dasar dan Pelan Tindakan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (PEKERTI) 2009 bagi melahirkan individu berpengetahuan dan mempunyai sikap positif dalam kesihatan reproduktif dan sosial.

Beberapa program dilaksanakan melalui dasar dan pelan tindakan itu termasuk Pusat Remaja kafe@TEEN, Program Pekerti@PLKN, Program Pekerti@Sekolah, Program Pekerti@Institut, Pekerti@IPGM dan Pekerti@Komuniti, katanya.

“Dengan pendedahan kepada maklumat yang betul dan latihan pembangunan kemahiran diri yang bersesuaian bermula dari awal, golongan muda dapat diperkasakan pengetahuan dan kemahiran bagi membantu mereka membuat pilihan bijak berhubung kesihatan reproduktif dan seksual remaja,” katanya. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA