JKM Tunggu Siasatan Polis Kes Dera Selesai



ALOR SETAR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih menunggu siasatan polis dan rawatan hospital selesai sebelum memutuskan penjagaan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang parah didera dipercayai oleh ibu dan teman lelaki kepada wanita itu di Flat Paya Nahu, Sungai Petani.

Pengarah JKM Kedah Md Noor Chik berkata setakat ini pihaknya sudah pun menghantar pegawai pelindung bagi memantau keadaan kanak-kanak itu seterusnya melihat tindakan wajar yang boleh diambil bagi membantu kanak-kanak tersebut.

"Kita akan membantu semaksima yang mungkin dan tidak akan membiarkan kanak-kanak ini terabai malah kita akan membuat penilaian sekiranya mangsa perlu ditempatkan di tempat yang selamat atau bersama keluarga terdekat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Khamis.

Awal pagi tadi, aduan diterima Polis Kuala Muda berhubung kes pergaduhan di flat berkenaan, membongkar kes penderaan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dan membawa kepada penemuan mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun.

Mayat kanak-kanak malang itu ditemukan berbalut dengan selimut toto dan disorokkan di dalam tong ikan dalam bilik di rumah terbabit.

Susulan itu seorang lelaki berusia 34 tahun dan wanita berusia 26 tahun yang juga ibu kepada mangsa ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Jiran mangsa yang pernah menjaga kanak-kanak perempuan itu juga memberitahu pernah melihat banyak kesan lebam pada badan mangsa dipercayai akibat didera.

Sementara itu tinjauan Bernama di Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani mendapati kanak-kanak perempuan itu masih menerima rawatan di wad kanak-kanak dan tiada pelawat yang dibenarkan masuk.

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail pula enggan mengulas lanjut perkara berkenaan dan memberitahu pihaknya masih menunggu laporan penuh berkenaan kes tersebut. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA