Jangan Terburu-buru Buat Kesimpulan Mengenai RUU Persendirian - TPM

KUCHING, 24 Nov (Bernama) -- Soal undi untuk menyokong atau tidak Rang Undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) pada persidangan Dewan Rakyat ketika ini tidak timbul, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan perdana menteri berkata semua pihak tidak seharusnya terburu-buru mengenainya kerana banyak proses perlu dilalui sebelum sampai ke peringkat itu.

Mengikut aturan mesyuarat Dewan Rakyat, Anggota Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan membentangkan usul mencadangkan RUU Persendirian itu hari ini.

Ahmad Zahid berkata selepas dibentang, jika diterima sekalipun usul itu, ia masih tidak akan dibahaskan, kerana sebarang pindaan perundangan adalah dalam bidang kuasa kerajaan.

Beliau berkata sebarang langkah ke arah penerimaannya, memerlukan beberapa langkah lagi diambil, dan sama sekali tidak dapat dilaksanakan pada persidangan yang berlangsung hari ini, katanya kepada pemberita dalam sidang media yang turut dihadiri Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem di bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata jika diterima sekalipun, langkah seterusnya ialah bagi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan perbincangan dengan semua parti, bukan sahaja anggota parti komponen Barisan Nasional.

"...kemudian perlu wujudkan jawatankuasa pilihan yang akan dianggotai semua parti politik, anggota Parlimen muslim dan juga bukan muslim, yang akan dikemukakan kerajaan," katanya.

Beliau menegaskan bahawa beberapa perkara yang perlu difahami semua pihak ialah RUU ini telah sedia ada dan pernah dipinda pada 1984, yang bertujuan untuk meluaskan kuasa mahkamah syariah, tiada kena mengena dengan hudud, dan sama sekali tidak mengambil alih kuasa undang-undang sivil atau badan kehakiman negara.

Menjawab soalan kenapa anggota Parlimen BN menyokong rang undang-undang yang dibentangkan pembangkang, Ahmad Zahid berkata itu bukan isunya kerana Dewan Rakyat membenarkan anggota Parlimen membentangkan usul rang undang-undang persendirian.

"Untuk menyokong atau tidak, bukan isunya, ia akan bergantung kepada jawatankuasa pilihan juga yang belum pun dibentuk," katanya.

Ahmad Zahid meminta semua pihak jangan kelirukan pembaca dan audien mengenai perkara ini lebih-lebih lagi rang undang-undang itu hanya berkaitan orang Islam.

Sementara itu Adenan berkata oleh kerana hari ini tiada apa-apa pengundian atau perbahasan di Dewan Rakyat, semua anggota Parlimen dari Sarawak tidak akan mengambil apa-apa ketetapan mengenainya setakat ini.

"Kita gembira perkara ini akan dibawa kepada satu jawatankuasa yang akan mengkaji dengan mendalam perkara ini, yang akan diwakili semua parti. Lepas itu barulah kita boleh memberi apa-apa keputusan muktamad mengenainya," katanya.

Beliau berkata ketetapan Sarawak yang paling muktamad adalah berkaitan dengan hudud, yang ditolak sama sekali, namun sebagaimana yang diterangkan Ahmad Zahid, Akta 355 itu tidak berkaitan dengan hudud.

Timbalan perdana menteri kemudian ke Astana Negeri untuk istiadat menerima Darjah Datuk Patinggi Bintang Kenyalang yang membawa gelaran Datuk Patinggi, daripada Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA