Jakel Tawar 60 Pakej Umrah Sempena Jualan Akhir Tahun


Pelanggan yang berbelanja minimum RM1,000 di gedung tekstil terkemuka Jakel berpeluang memenangi 60 pakej umrah sempena jualan akhir tahun bermula Jumaat ini.

Selain itu, pelanggan Jakel juga berpeluang memenangi wang tunai RM250 dan RM500 setiap minggu, menerusi peraduan beli dan menang.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, pakej umrah yang julung kali ditawarkan ini antara usaha syarikat untuk berkongsi keuntungan dengan pelanggan.

“Menerusi pembelian minimum RM1,000 di semua cawangan Jakel, seramai 30 pasangan bertuah berpeluang memenangi pakej umrah di mana pemenang akan diumumkan akhir Mei depan.

“Bagi peraduan beli dan menang, seramai 2,100 pemenang bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM250, manakala 1,250 pelanggan lagi akan dipilih untuk memenangi wang tunai RM500 setiap minggu” katanya pada majlis pelancaran promosi itu di Jakel Mall, di sini Selasa.

Menurut Mohamed Faroz, pelanggan juga berpeluang menyertai kedua-dua kategori pertandingan ini menerusi pembelian dalam talian di laman Facebook Jakel Online.

Sepanjang tempoh promosi akhir tahun ini juga Jakel menawarkan lebih satu juta meter kain pelbagai pilihan dari segi corak dan warna, dengan harga serendah RM2.90 semeter.

“Harga yang ditawarkan kali ini lebih rendah berbanding tahun lalu,” katanya sambil menambah pihaknya juga mempromosi produk lain seperti kain bercorak moden dan abstrak, perabot rumah dan kain langsir.

Menurutnya, 2016 adalah tahun ke-10 Jakel menawarkan pelbagai hadiah menarik dengan menyasarkan kehadiran 100,000 hingga 150,000 pelanggan.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA