Jack Ma Biayai Pendidikan Kanak-Kanak Miskin Yang Menyerupainya


BEIJING: Pengasas Alibaba Group, Jack Ma berkata, dia akan membiayai pendidikan seorang kanak-kanak yang menyerupai wajahnya selepas tersentuh dengan nasib budak itu.

Agensi berita Xinhua memetik satu kenyataan yang dikeluarkan Alibaba Group sebagai berkata, Ma, orang kedua paling kaya di China, berikrar untuk membiayai pendidikan Fan Xiaoqin dari sekolah rendah hingga kolej.

Fan, lapan, yang juga dikenali dengan panggilan ‘Jack Ma mini’ menjadi popular selepas orang ramai di China menyedari kesamaan wajahnya dengan bilionair China itu apabila gambarnya di muat naik ke Internet.

Pengguna media sosial juga bersimpati selepas mengetahui nasib keluarga Fan.

Menurut laporan, keluarga Fan miskin. Ibunya menghidap polio dan buta sebelah mata sementara bapanya, satu-satunya yang bekerja untuk menyara keluarga itu, kudung sebelah kaki akibat kemalangan. Neneknya pula nyanyuk.

Ma sebelum ini menyuarakan rasa terkejut dengan wajah Fan yang sama dengannya. Dia menulis dalam laman sosial tahun lalu: “Mulanya saya sangka ia gambar saya ketika kecil. Satu-satu yang berbeza antara kami ialah cara kami membutang baju.”

Bilionair itu tergerak untuk membantu Fan selepas netizen di China menggesa dia berbuat demikian.-Agensi

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA