Indonesia Malu Import Cangkul China


JAKARTA: Kerajaan Indonesia didesak berhenti mengimport cangkul dari China selepas dianggap memalukan kerana seolah-olah negara itu tidak mampu menghasilkan alatan pertanian berkenaan.

Pengerusi Persatuan Petani Indonesia, Henry Saragih berkata, pengeluaran cangkul dalam negara tidak pernah berkurangan dan kerajaan sepatutnya membantu industri berkenaan.

“Jadi tidak perlu import dan apa yang perlu kerajaan lakukan adalah lindungi industri ini dan memberi bantuan kepada pengeluar alatan pertanian.

“Pemikiran mementingkan barangan import menjadikan negara tidak berdaya saing di peringkat antarabangsa. Perkara berkaitan cangkul dengan sabit pun kita perlu import,” katanya.

Menurutnya, dia mengesyaki ada pihak yang mendorong kerajaan mengimport cangkul dan sabit kerana mahu mengaut keuntungan semata-mata.

Setiausaha Agung Himpunan Masyarakat untuk Kemanusiaan dan Keadilan, Sya’roni memberitahu, langkah kerajaan mengimport cangkul dari China adalah memalukan.

Katanya, tidak masuk akal sebuah negara seperti Indonesia yang mempunyai tenaga kerja yang ramai serta sumber yang banyak tidak mampu membuat cangkul.

“Selepas 71 tahun merdeka ternyata bangsa yang mendakwa sebagai bangsa pertanian terpaksa mengimport cangkul,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Menteri Perindustrian, Airlangga Hartarto berkata, sebahagian besar cangkul yang diperlukan di sektor pertanian dihasilkan di dalam negara.

Katanya, hanya sebahagian kecil sahaja cangkul yang diimport bagi menambah bekalan peralatan pertanian sedia ada.

Menurutnya, kerajaan memutuskan untuk tidak menyambung semula kebenaran mengimport cangkul dan sabit yang tamat pada Disember ini selepas dikritik ramai pihak.-Agensi

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA