Indonesia Bimbang Kes Culik Rakyatnya Berulang



TAWAU: Pejabat Konsulat Republik Indonesia (KRI) di sini melahirkan kebimbangan terhadap insiden penculikan terbaru membabitkan dua rakyat negara itu di perairan Merabung, Lahad Datu, Sabtu lalu.

Kepala Perwakilan Tawau, Krishna Djelani, berkata kerajaan Indonesia bimbang dengan situasi dan keselamatan rakyatnya terutama yang bekerja dalam sektor perikanan kerana kerap menjadi sasaran kumpulan penculik khususnya di pantai timur Sabah.

"Kita (kerajaan Indonesia) sangat prihatin terhadap kes ini selain khuatir dengan perkembangan kes penculikan terbaru ini.

"Bagaimanapun, kami sedia bekerjasama dengan semua pihak bagi menangani masalah ini dan berusaha mendapatkan segala butiran lengkap termasuk waris mangsa, selain memantau perkembangan," katanya kepada BH, hari ini.

Krishna berkata, pihaknya bercadang mengadakan pertemuan dengan pihak majikan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) terutama dalam sektor perikanan bagi membincangkan kaedah terbaik, selain langkah berjaga-jaga yang perlu diberi perhatian untuk mengelak kejadian berulang.

Dalam kejadian jam 7.30 malam Sabtu lalu, dua nelayan warga Indonesia dilarikan lima lelaki bertopeng dan bersenjata ketika menangkap ikan bersama 11 lagi kru di perairan terbabit.

Suspek turut merosakkan alat komunikasi di kapal terbabit dan merampas telefon bimbit serta wang tunai milik kru sebelum melarikan diri ke arah perairan antarabangsa.

Ia kes culik terbaru di perairan ESSZONE selepas dua juragan bot nelayan warga Indonesia diculik kumpulan bersenjata dalam kes berasingan di perairan Kinabatangan pada 5 November lalu. - BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA