Ikan Lumba-Lumba Mati, Terperangkap Dalam Pukat

KUCHING: Seekor ikan lumba-lumba Irrawaddy dijumpai mati terperangkap dalam pukat nelayan tempatan di Kuala Matu, Mukah.

Sarawak Forestry Corporation (SFC) berkata bangkai spesies terlindung sepenuhnya itu dibuang para nelayan terbabit semula ke dalam laut selepas terperangkap pada 27 Oktober lepas.

“Sepasukan pegawai SFC pada 1 November pergi ke Kuala Matu setelah tersebar berita itu menerusi media sosial.

“Masa mereka menarik pukat obor-obor itu, ikan itu sudah mati,” katanya ketika diminta mengesahkan berita yang disebarkan oleh laman Facebook ‘Borneo’ semalam.

Berat mamalia malang itu ialah 50 kilogram, dengan panjang kira-kira 1.5 meter.

SFC berkata pasukan tersebut mendapati nelayan di situ tidak mengetahui spesies tersebut merupakan terlindung sepenuhnya.

Ia termaktub di bawah Ordinan Perlindungan Haiwan Liar, 1998.

“Pegawai-pegawai SFC seterusnya melekat poster mengenai spesies terlindung di kampung itu agar dapat membantu meningkatkan kesedaran mereka,” katanya. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA