Ikan Laga Dijual Pada Harga RM6,617


BANGKOK: Seekor ikan laga Betta yang mempunyai warna sama seperti bendera Thailand dijual dalam satu lelongan atas talian pada harga 53,500 baht (RM6,617), dianggap mungkin ikan laga paling mahal pernah dijual di dunia.

Gambar ikan yang mempunyai jalur berwarna biru, merah dan putih seperti bendera Thailand itu viral di Internet selepas dimuat naik pembiak ikan hiasan, Kachen Woracha di kumpulan lelongan ikan Betta di Facebook.

Kachen, 40, berkata, dia hanya menyasarkan ikan itu dijual pada harga beberapa ribu baht, tetapi terkejut apabila lelongan mencecah 10,000 baht (RM1,236) pada hari kedua.

“Saya tidak menyangka ia dijual pada harga ini,” kata pemilik kedai serbaneka yang membiak ikan hiasan sebagai hobi.

Dia memuat naik gambar ikan itu untuk dilelong pada 6 November lalu dengan harga permulaan 99 baht (RM12.25) sebelum ditutup dua hari kemudian.

Sebelum ini ikan Betta dibiak dengan warna bendera Thailand tetapi Kachen memberitahu, tiada siapa yang berjaya menghampirinya.

Menurutnya, ikan Betta yang paling mahal dilelong sebelum ini dijual pada harga 23,500 baht (RM2,908).

“Peluang untuk membiakkan ikan dengan warna yang sama dengan bendera Thailand adalah satu dalam 100,000.

“Ramai yang mahu membiakkan ikan dengan warna bendera Thailand tetapi nampaknya nasib menyebelahi saya,” katanya. - AP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA