Ibu Dipenjara Kerana Dera Anak Di Sibu


SIBU: Seorang suri rumah dijatuhkan hukuman setahun penjara oleh mahkamah di sini semalam setelah mengaku bersalah mendera anaknya berusia tiga tahun gara-gara mangsa menghilangkan alat mainannya.

Raynitta Raymond, 26, beralamat di Sibu Jaya diperintah menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh beliau ditahan pada 6 November lalu.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh berkelakuan baik selama tiga tahun selepas tamat tempoh hukuman penjara.

Mengikut pertuduhan, Raynitta didakwa menganiayai anak lelakinya dan mendatangkan kecederaan fizikal di kediaman mereka di Sibu Jaya pada 5 November lalu, jam antara 2 hingga 4 petang.

Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a), Akta Kanak-Kanak 2001 dan dihukum mengikut 31(1), akta yang sama.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, mangsa memaklumkan ibu kandungnya memukulnya sehingga dia melarikan diri ke rumah pengadu yang terletak berhampiran.

Pengadu kemudian melihat belakang mangsa mempunyai kesan calar kemerahan dan kepalanya lebam.

Mangsa mengatakan tertuduh memukulnya menggunakan tangan beberapa kali di belakang badan serta menghentak kepalanya ke dinding.

Tertuduh bertindak demikian selepas mangsa menghilangkan alat mainannya.

Dalam rayuan, Raynitta memberitahu beliau mengalami tekanan darah tinggi serta kesal dengan apa yang berlaku.

Beliau juga memberitahu mempunyai dua orang anak dan mangsa merupakan anak sulungnya selain suaminya bekerja sebagai tukang kebun di sebuah sekolah rendah.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA