Ibu Cari Rezeki, Dua Anak Kecil Tinggal Tanpa Pengawasan Di Rumah


KUCHING: Disebabkan desakan hidup dan keluar untuk mencari nafkah, Suhaila Abdullah terpaksa meninggalkan dua anaknya yang berusia enam dan tiga tahun tanpa penjaga di rumah.

Kedua-dua kanak-kanak tersebut tinggal di rumah tanpa pengawasan sehingga abang mereka balik di sekolah.

Suhaila yang merupakan ibu tunggal kini mengambil alih tugas suaminya yang meninggal dunia Mac lepas selaku ketua keluarga dan bekerja sebuah kelab golf sebagai pekerja am dengan gaji RM800 sebulan.

"Demi mencari nafkah bagi keperluan hidup sekeluarga, saya terpaksa meninggalkan dua anak di rumah tanpa penjaga pada sebelah siang.

"Anak saya yang berusia enam tahun belum dapat dihantar ke tadika kerana menjaga adiknya sementara menunggu abang balik dari sekolah," katanya.

Anak Suhaila yang sulung kini menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini.

Lebih menyedihkan lagi, rumah sewa yang mereka diami di Kampung Siol Kandis sangat daif dan tiada bekalan elektrik selain terpaksa berkongsi air bersama jiran.

Prihatin dengan nasib menimpa keluarga terbabit, Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) meluluskan bantuan kewangan setiap bulan untuk membantu keluarga terbabit.-Sarawakiana









No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA