Ibrahimovic minta maaf selepas dilayang kad kuning


LONDON: Zlatan Ibrahimovic meminta maaf selepas menempah kad kuning yang menyaksikannya terlepas pertemuan menentang Arsenal.

Ibrahimovic dilayangkan kad kuning kelima musim ini pada babak kedua apabila terbabit dalam insiden dengan pemain Swansea Leroy Fer ketika United menang 3-1 di Stadium Liberty Ahad lalu.

Bintang penyerang Sweden itu menyumbat dua gol dalam kemenangan itu, tetapi layangan kad berkenaan bermakna dia digantung satu perlawanan sekali gus terlepas aksi menentang The Gunners di Old Trafford dalam saingan Liga Perdana Inggeris, 19 November ini.

"Anda mahu tahu? Setiap kali saya cuba memperagakan permainan saya dengan menggunakan kekuatan dan cuba menghalang, atau apa sahaja, saya mendapat kad kuning," kata Ibrahimovic kepada MUTV.

"Saya tidak tahu untuk memberi penjelasan kerana saya fikir saya terlalu penat dan saya tidak mendengarnya (pengadil Neil Swarbrick).

"Di England, bola sepak adalah sukar, ia adalah fizikal.

"Saya perlu menerimanya. Saya perlu profesional. Saya minta maaf kerana digantung perlawanan seterusnya.

"Saya benar-benar mahu beraksi pada perlawanan itu. Tetapi saya percaya dengan rakan sepasukan dan saya tahu mereka mampu melakukannya tanpa saya." - AFP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA