Hubungan KL-Beijing Semakin Erat Tingkatkan Hubungan Dagang, Merintis Ekonomi Baharu

Image result for najib razak
BEIJING - Hubungan Kuala Lumpur-Beijing yang semakin erat dipertingkatkan dengan lawatan rasmi kali ketiga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dan ia bukan sahaja meningkatkan hubungan perdagangan kedua-dua buah negara malah merintis jalan dalam ekonomi baharu.

Lawatan rasmi enam hari beliau itu bukan sahaja menyaksikan pencapaian bersejarah dengan termeterainya 14 Memorandum Persefahaman bernilai RM144 bilion, malah juga berupaya mendapatkan jutawan Internet China dan pengasas Alibaba sebagai penasihat ekonomi digital kepada kerajaan Malaysia bagi menerajui pembangunan e-Dagang.

Semalam, Najib berkata ia akan membantu membuka bidang baharu bagi ekonomi Malaysia.

Perdana menteri juga bertemu pemilik Wanda Group dan Tencent Holdings yang turut menyuarakan minat masing-masing untuk menyertai ekonomi digital Malaysia.

Wanda ialah syarikat hartanah komersial terbesar China dan pengendali rangkaian pawagam terbesar dunia, manakala Tencent ialah penyedia utama perkhidmatan menambah nilai Internet di China.

Lawatan Najib ke Bandar Raya Industri Baharu Gu'an, sebuah bandar raya industri berasaskan inovasi, dibangunkan oleh China Fortune Land Development Co Ltd (CFLD) yang mempamerkan pembangunan industri masa depan yang holistik, kreatif, inovatif dan dinamik yang diminati beliau.

Ini terutamanya teknologi terkini yang dibangunkan Global Technology Centre miliknya dengan kerjasama Tsinghua University, Peking University dan Taman Sains dan Teknologi Zhongguancun.

Bandar raya industri itu memberi tumpuan kepada lima kluster industri iaitu - aeroangkasa, bioperubatan, perkilangan perkakasan mewah, e-Dagang dan industri perkhidmatan moden.

Lawatannya kali ini juga membuka peluang baharu dengan keputusan penting kerajaan Malaysia membeli empat kapal misi pesisir (LMS) dari China, dengan dua daripadanya akan dibina di China dan dua lagi di Malaysia.

Peruntukan bagi pembelian itu di luar daripada bajet dengan dananya adalah daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melalui penjimatan yang diperoleh daripada Program Transformasi 15-5.

Dalam bidang pertahanan, Malaysia-China telah memulakan eksesais ketenteraan bilateral kira-kira dua tahun lalu diikuti eksesais bersama tahun lepas.

Hubungan Malaysia dan China yang terjalin sejak 1974, terus berkembang dan pada tahun lepas China melabur US$2 bilion (RM8.4bilion) di Malaysia, dan jumlah itu dijangka meningkat berdasarkan aliran menaik dalam pelaburan sejak lima tahun lepas.

China adalah rakan dagang terbesar Malaysia pada 2015, kedudukan yang kekal sejak 2009. Jumlah dagangan dua hala pada 2015 adalah US$100 bilion.

Bagi terus meningkatkan hubungan ini, Malaysia Airlines akan mengadakan penerbangan di lapan destinasi baharu dan 11 laluan penerbangan baharu mulai Januari 2017, manakala Kumpulan AirAsia Group menjadi syarikat penerbangan asing antarabangsa terbesar beroperasi di China, menawarkan 313 penerbangan seminggu di antara kedua buah negara.

China dan Malaysia, dalam kenyataan bersama berikutan lawatan Najib itu adalah mengenai pertukaran lawatan yang kerap di antara para pemimpin kedua-dua buah negara telah dapat meningkatkan hubungan Kuala Lumpur-Beijing ke tahap lebih tinggi.

Tahun depan, Presiden Xi Jinping akan melakukan lawatan negara ke Malaysia atas jemputan Najib. Lawatan negara pertama Xi ke Malaysia adalah pada 2013.

Lawatan peringkat tinggi ini akan terus meningkatkan lagi hubungan mesra yang sedia terjalin di antara kedua-dua buah negara.



- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA