Hubungan Ketenteraan Malaysia-AS Tidak Berubah



KUALA LUMPUR – Hubu­ngan ketenteraan melibatkan institusi sedia ada antara Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) tidak akan berubah meskipun tampuk kepimpinan negara itu mengalami perubahan setelah Donald Trump memenangi Pilihan Raya Presi­den negara itu kelmarin.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya yakin kepimpinan AS akan terus memimpin dan bertanggungjawab memastikan persetujuan yang telah dibuat sebelum ini tidak mengalami perubahan.

“Sebenarnya kita telah mengikutinya dari awal lagi tetapi institusi sedia ada di AS takkan ber­ubah sama ada pihak tentera atau United States Pacific Command (Uspacom) yang memantau Pasifik ketika ini kerana hubungan kita memang rapat.

“Cuma kita perlu tunggu dari segi polisi dan penekanan AS terhadap rantau kita dengan pelantikan Presiden baharu yang diberikan mandat untuk memimpin negara itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Persempadanan Malaysia-Thailand (MALTHAI) Ke-53 di Wisma Perwira, di sini hari ini.

Sementara itu, dalam mesyuarat tersebut yang dipengerusikan bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Prawit Wongsuwon, Hishammuddin berkata, Malaysia dan Thailand akan memperhebatkan kerjasama dalam menghadapi ancaman baharu.

“Agensi di dua buah negara ini diminta untuk bekerjasama rapat melibatkan jenayah merentasi sempadan, isu militan Daesh dan proses damai di selatan Thailand. Semua dibincangkan dalam perjumpaan pagi ini.

“Saya percaya ini boleh membezakan kita dengan hubungan dua hala antara negara-negara lain. Sebab itu, kerjasama negara berjiran perlu diberi keutamaan dan harus bekerja kuat bagi mewujudkan jalinan hubungan lebih erat kerana dunia sekarang semakin kompleks dan tiada sempadan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, jenayah rentas sempadan kini menjadi skop dan tanggungjawab di bawah agensi pertahanan selain Kementerian Dalam Negeri.- utusan online

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA